SEOUL: Dua peluru berpandu yang dilancarkan Korea Utara di perairan Jepun menandakan kemajuan terhadap program persenjataan sekali gus memberi tekanan kepada Amerika Syarikat (AS) yang mahu menyemak semula polisi dengan negara itu.
Lapor Reuters, ujian itu dilaporkan oleh pihak berkuasa di AS, Korea Selatan dan Jepun semasa permulaan larian obor Sukan Olimpik di Jepun.
Pengawal pantai di Jepun mengesahkan peluru berpandu pertama dikesan selepas pukul 7 pagi dan bergerak sekitar 420 kilometer (km), diikuti 20 minit kemudian yang bergerak sejauh 430 km.
Jepun menjelaskan tiada serpihan peluru berpandu yang jatuh ke dalam kawasan perairannya dan pada masa sama Pyongyang dihalang melakukan ujian tersebut berdasarkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pelancaran senjata itu merupakan peluru berpandu pertama yang diuji Korea Utara hampir setahun dan kes pertama dilaporkan sejak Presiden AS, Joe Biden mengambil alih pemerintahan.
Pakar Perhubungan Nuklear di Institut Teknologi Massachusetts di AS, Vipin Narang berkata, ujian peluru berpandu itu bukan bermaksud diplomasi pelucutan senjata nuklear telah mati tetapi negara itu menyebabkan AS berasa tidak selesa kerana isyarat persenjataan Pyongyang sudah maju.
Malah, ia turut menimbulkan ancaman baharu serta meningkatkan potensi tawar-menawar sekiranya perbincangan disambung semula.
Pentadbiran Biden dalam peringkat akhir menyemak semula polisi dengan Korea Utara, dan memberi amaran keras mengenai hak asasi manusia, pelucutan senjata nuklear dan sekatan, sambil membuat tindakan diplomatik yang ditolak oleh Pyongyang.
Pegawai Kanan Majlis Atlantik dan bekas Pegawai Perisikan AS untuk Korea Utara, Markus Garlauskas berkata, Washington tersilap langkah kerana mengabaikan kemajuan dalam peluru berpandu jarak dekat Korea Utara.
Perkara itu berikutan pemimpin Kim Jong Un pada Januari lalu menegaskan tentera Korea Utara memiliki teknologi untuk melancarkan senjata nuklear dan meletakkannya dalam peluru berpandu taktikal.
“Meremehkan ujian percubaan peluru berpandu balistik Korea Utara tidak akan membantu diplomasi AS dengan Korea Utara, dan hanya mendorong Korea Utara untuk menguji lebih jauh apa yang dapat diterima oleh pentadbiran baharu,” katanya.










