YANGON: Penduduk yang tinggal di sebuah kawasan protes di bandar terbesar di Myanmar dilaporkan melarikan diri dengan menaiki lori dan tuk-tuk setelah pasukan keselamatan meningkatkan penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan anti-kudeta.
Junta tentera Myanmar dilihat tidak mahu mengalah meskipun pelbagai pihak antarabangsa mengecam penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa di negara ini.
Media tempatan, Irrawaddy menyiarkan beberapa gambar menunjukkan penduduk bersesak di dalam lori untuk melarikan diri daripada kawasan dikenakan undang-undang tentera.
Malah, ada penduduk yang membawa haiwan peliharaan mereka dengan menaiki motosikal sementara yang lain pula bersesak bersama barangan mereka di dalam tuk-tuk.
Dalam pada itu, keluarga mangsa yang maut dalam protes anti rampasan kuasa di Myanmar bersiap sedia untuk mengadakan majlis pengebumian selepas menganjurkan upacara menyalakan lilin.
Menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), tiga kanak-kanak antara mangsa yang
maut dalam protes pada Ahad lalu manakala sekurang-kurangnya 20 orang lagi maut dalam keganasan kelmarin.
Badan pemantau itu memaklumkan kanak-kanak itu termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan merupakan antara 74 individu terbunuh dalam protes pada Ahad lalu.
“Angka kematian meningkat secara drastik,” jelas AAPP dengan mengesahkan sejumlah 183 kes kematian dilaporkan sejak protes bermula.
Jelas AAPP, kira-kira 2,175 orang ditahan, didakwa atau dikenakan hukuman sejak junta tentera melakukan rampasan kuasa malah 1,856 lagi masih berada dalam tahanan.
Junta tentera Myanmar menguatkuasakan undang-undang tentera di enam daerah di Yangon akibat keganasan pada Ahad lalu yang bermakna mana-mana individu ditahan di kawasan ini bakal menghadapi perbicaraan di tribunal tentera berbanding mahkamah biasa.
Hukuman yang dikenakan pula daripada melakukan kerja berat selama tiga tahun hingga hukuman mati. – AFP/AGENSI










