Langit `merah berapi' di Balongan - Utusan Malaysia

Langit `merah berapi’ di Balongan

ASAP tebal dan api marak akibat kebakaran di loji penapis minyak PT Pertamina di Balongan, Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDUNG: Seramai 20 orang mengalami kecederaan dengan lima daripadanya parah selepas sebuah loji penapis minyak milik PT Pertamina RU VI Balongan, Jawa Barat terbakar dan meletup  pada awal pagi semalam.

Kejadian itu menyebabkan enam pencawang elektrik terbakar sehingga menjejaskan 1,078 penduduk sekitar kawasan itu, awal pagi tadi.  

Pengarah Urusan, Unit Pengedaran Utama Perusahaan Elektrik Negara (PLN) Jawa Barat, Agung Nugraha menerusi kenyataan berkata, ketika kebakaran berlaku pihaknya berusaha memindahkan jaringan bekalan elektrik bagi mengelakkan kesan gangguan yang lebih meluas. 

“Kami juga mengarahkan pegawai teknikal ke kawasan itu dan cuba membaiki jaringan dan bekerjasama dengan kerajaan supaya bekalan elektrik kembali normal. 

“Kami juga melakukan tinjauan di beberapa lokasi bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya. 

Setakat pukul 9 pagi waktu Indonesia Barat, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia mengenai kemalangan jiwa dalam insiden tersebut. 

Sementara itu, kebakaran yang berlaku selama enam jam itu bermula sejak pukul 12.45 pagi dan usaha pemadaman semakin sukar disebabkan hujan dan petir yang melanda.  

Ketua Jabatan Kebakaran Indramayu, Joni Takarasel berkata, kerja pemadaman di kilang itu melibatkan 12 jentera bomba dari pelbagai agensi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.  

Kilang yang beroperasi sejak 1994 itu memproses minyak mentah dari Duri dan Minas menjadi produk bahan bakar minyak dan petrokimia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×