Kezaliman tanpa noktah - Utusan Malaysia

Kezaliman tanpa noktah

AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan semasa melihat mayat Saw Pyae Naing yang ditembak dan dibunuh 13 Mac lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Rakyat Myanmar sudah hilang tempat bergantung, tiada lagi dahan untuk berpaut. Hanya dengan berhimpun di jalanan menjadi saluran terakhir buat dunia memahami suara mereka. 

Namun, hak asasi mereka dicabul sewenang-wenangnya apabila 38 penunjuk perasaan di seluruh Myanmar terbunuh dalam protes terbaharu menentang rampasan kuasa junta tentera sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa terkorban adalah seramai 126 orang. 

Anggota polis dilaporkan maut sekali gus menjadikan Ahad sebagai hari paling banyak merekodkan kematian sejak demonstrasi besar-besaran diadakan enam minggu lalu yang menyaksikan tindakan ganas serta kekerasan digunakan tanpa belas kemanusiaan. 

Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) memberikan amaran korban jiwa itu meningkat secara mendadak malah, bilangan individu yang ditahan sudah mencecah 2,150 orang. 

Menurut AAPP, kepulan asap menyelubungi bandar perindustrian, Hlaing Thar Yar di Yangon dan dua kilang China dibakar yang menyebabkan anggota keselamatan melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan. 

Sekurang-kurangnya 22 orang awam terbunuh dan 20 yang lain cedera termasuk tiga individu dalam keadaan kritikal. 

Insiden keganasan dilaporkan semakin meningkat di merata-rata tempat di Myanmar termasuk di bandar kedua terbesar, Mandalay yang menyaksikan seorang wanita ditembak di kepala, sementara di Bago dua orang terbunuh. 

Saluran televisyen MRTV melaporkan anggota polis maut selepas berlaku pergelutan antara penunjuk perasaan di Bago sekali gus menjadi anggota polis kedua yang maut dalam protes itu. 

Dalam perkembangan sama, Majlis Pentadbiran Negara Myanmar hari ini menguatkuasakan undang-undang tentera di Dagon Utara, Dagon Selatan, Dagon Seikkan dan bandar Okkalapa Utara di wilayah Yangon. 

Pengumuman yang dibuat oleh Pejabat Panglima Angkatan Tentera itu memberikan kuasa pentadbiran dan kehakiman kepada panglima wilayah Yangon untuk memastikan keamanan, ketenangan dan kedaulatan undang-undang. 

Sebelum ini, undang-undang tentera turut dikuat kuasa sejak Ahad lalu di Hlaingthaya dan Shwe Pyi Thar di wilayah Yangon setelah beberapa kilang di bandar terbabit dibakar. 

 

THAILAND BINA KEM SEMENTARA 

Dalam pada itu, pihak tentera Thailand merancang membina kem sementara di wilayah Ranong dan Chumphon bagi warganegara Myanmar yang melarikan diri daripada keganasan politik, ketika kematian dalam kalangan peserta protes semakin memuncak. 

Komando Tugas Khas Thep Satri, Mejar Jeneral Santi Sakuntak berkata, daerah Muang, La-un dan Kra Buri di Ranong dan Tha Sae di Chumphon ditetapkan sebagai kawasan perlindungan sementara. 

Thailand akan menerima mereka atas dasar kemanusiaan dan menghantar mereka kembali ke negara asal selepas situasi kembali normal daripada membina kem pelarian di kawasan sempadan. 

Thailand berkongsi kawasan sempadan seluas 2,400 kilometer dengan Myanmar. -AFP/Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×