RIYADH: Kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah domestik berusia antara 18 hingga 70 tahun untuk mengerjakan ibadah umrah.
Menurut Kementerian Haji dan Umrah, langkah itu sejajar dengan arahan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dan protokol pencegahan untuk membendung penularan Covid-19.
Jelas kementerian itu, jemaah yang mendaftar di aplikasi Eatmarna boleh menunaikan semula umrah selepas tamat permit semasa.
Katanya, permit baharu hanya boleh dikeluarkan seawal mungkin sekiranya permit sebelumnya dibatalkan.
“Berdasarkan peraturan semasa, permohonan untuk permit umrah hanya boleh dibuat setiap 15 hari.
“Permohonan boleh dilakukan setiap hari menerusi aplikasi itu manakala perkhidmatan pengangkutan pula adalah pilihan,” jelas kementerian itu.
Berhubung laporan media yang mendakwa tiada tempahan umrah boleh dibuat menerusi aplikasi tersebut, kementerian tampil menjelaskan bahawa ia perlu dimohon dalam tempoh singkat disebabkan jumlah pengguna aplikasi melebihi dua juta pengguna.
Kementerian itu memaklumkan pihaknya masih sedang melaksanakan fasa ketiga penyambungan semula perkhidmatan umrah yang bermula pada 1 November tahun lalu.
Jemaah asing dan domestik dibenarkan untuk menunaikan umrah serta mengunjungi Masjid Nabawi dan Rawdah Sharif sejak awal fasa itu.
Sejumlah 20,000 jemaah dibenarkan untuk mengerjakan ibadah umrah dan 60,000 jemaah diberikan permit bagi menunaikan solat di Masjidil Haram dengan 100 peratus kapasiti operasi ketika fasa semasa itu. – AGENSI









