LONDON: Seorang wanita yang berusia 21 tahun mendakwa kehidupannya seperti kisah filem 50 First Dates kerana kerap kali terlupa siapa pasangannya.
Lapor Daily Mail, Megan Jackson dari Leeds, West Yorkshire mengalami keadaan jarang berlaku itu sehingga dia terpaksa mencatatkan rutin harian dalam diari bagi mengingatkannya mengenai hubungan dengan pasangannya.
Menurut Jackson, dia menderita serangan hilang memori setiap kali ketika berasa terlalu gembira setelah mengalami gangguan fungsi neurologi (FND) sejak lima tahun lalu.
Keadaan itu menjejaskan setiap aspek kehidupan Jackson yang turut bermaksud dia dilarang menonton sitkom kegemarannya kerana boleh membuatkannya ketawa berlebihan.
Pasangannya juga terpaksa menulis diari untuk Jackson dan menunjukkan gambar serta memainkan lagu kegemarannya bagi membantu mengingatkannya.
“Keadaan ini sungguh menyedihkan kerana saya menderita serangan ini hampir setiap hari. Saya hanya perlu ketawa untuk mengalami serangan tersebut, ia menjejaskan kehidupan saya.
“Kadang kala saya turut tidak ingat ahli keluarga dan situasi itu amat teruk,” katanya.
Pengguna TikTok dan vlogger itu juga tidak boleh menerima berita mengejutkan kerana situasi tersebut mampu menyebabkan dia hilang ingatan yang teruk.
Jackson mengakui ramai orang menyamakan keadaan yang dilaluinya seperti filem 50 First Dates yang mengisahkan seorang wanita mengalami penyakit hilang ingatan jangka pendek dan perlu menjalani kehidupan hariannya tanpa mengingati apa yang berlaku sebelum itu.










