KAHERAH: Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) mengumumkan trafik perkapalan di Terusan Suez kembali beroperasi selepas kapal kontena Ever Giver berjaya digerakkan dan diapungkan sepenuhnya.
Usaha membebaskan Ever Given berhasil selepas kapal tersebut bolej digerakkan 80 peratus ke arah yang sepatutnya.
Menurut beberapa saksi Reuters, kapal itu bergerak keluar melalui terusan tersebut dan saluran televisyen Mesir menunjukkan kedudukan Ever Given di bahagian tengah terusan.
SCA dalam kenyataan memaklumkan, ketua badan tersebut, Osama Rabie mengesahkan laluan di terusan terbabit sudah kembali normal.
Siaran televisyen juga menunjukkan sejumlah kapal tunda membunyikan hon bagi meraikan kejayaan itu.
sebelum ini, kapal tersebut tersekat pada kedudukan kira-kira 30 darjah di terusan tersebut dan usaha untuk mengapungkan Ever Given akan diteruskan ketika air pasang.
Satu video yang dikongsi dalam media sosial semalam menunjukkan bahagian belakang kapal tersebut digerakkan, sekali gus membuka ruang di terusan tersebut.
Terdahulu, puluhan kapal tunda digunakan untuk menarik kapal tersebut bagi mengapungkannya ketika air pasang namun usaha itu menemui kegagalan.
Terusan Suez merupakan satu daripada laluan perdagangan paling sibuk di dunia.
Insiden yang menimpa Ever Green menyaksikan sejumlah kapal perdagangan terpaksa menukar laluan di sekitar kawasan perairan Afrika.
Selepas beberapa hari usaha untuk ‘membebaskan’ kapal kontena itu gagal, Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) mula bersedia untuk mengeluarkan kira-kira 20,000 kontena bagi meringankan muatan kapal berkenaan.
Operasi mengeluarkan kontena itu dijangka mengambil masa selama beberapa minggu, selain perlu menggunakan peralatan khas termasuk kren yang boleh naik setinggi lebih 60 meter.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 5 pagi waktu tempatan, SCA memaklumkan usaha mengapungkan Ever Given dimulakan dengan bantuan 10 kapal tunda besar.
Syarikat perkhidmatan maritim, Inchcape juga menyatakan kapal kontena itu sudah berjaya diapungkan dan kini dipantau rapi.
Pegawai SCA yang enggan identitinya didedahkan memberitahu pasukan lapangan sudah mula memeriksa komponen teknikal dan memastikan enjin kapal tersebut masih berfungsi.
Pada petang kelmarin, syarikat perkapalan, Leth memaklumkan pihak berkuasa Mesir memutuskan untuk menggunakan lebih banyak kapal tunda untuk menggerakkan Ever Given dan terpaksa menangguhkan usaha pengapungan ketika air pasang.
Krisis yang berlaku memaksa sejumlah syarikat perkapalan memilih sama ada untuk menunggu atau mengatur semula perjalanan menggunakan laluan alternatif.
Menurut kajian yang dilakukan oleh syarikat insurans, Allianz, perdagangan global merekodkan kerugian antara AS$6 hingga AS$10 bilion (RM25 bilion hingga RM41.5 bilion) setiap hari susulan insiden yang berlaku.
Selain itu, SCA menyatakan terdapat sebanyak 369 kapal terkandas dan menunggu terusan itu dibuka untuk memulakan perjalanan.
Beberapa negara termasuk Rusia dan Amerika Syarikat (AS) juga menawarkan bantuan untuk mengapungkan kapal tersebut.
Sementara itu, agensi kesihatan haiwan Romania memberitahu sebanyak 11 kapalnya yang membawa haiwan ternakan turut terjejas dengan Badan Kebajikan Haiwan Antarabangsa memberi amaran kira-kira 13,000 haiwan boleh mati akibat krisis tersebut. – AFP/AGENSI











