WASHINGTON: Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memaklumkan asteroid besar akan melintasi bumi dengan jarak dua juta kilometer (km) pada 21 Mac ini.
NASA berkata, pihaknya akan membenarkan ahli astronomi melihat lebih dekat asteroid tersebut.
Jelasnya, asteroid yang diberi nama 2001 F032 itu mempunyai diameter 3,000 kaki atau 914 meter dan ditemukan sejak 20 tahun lalu.
Pengarah Pusat Kajian Objek Berhampiran Bumi, Paul Chodas berkata, pihaknya mengesahkan garisan orbit 2001 F032 di sekeliling matahari adalah sangat tepat.
“Kita tidak akan berpeluang lagi untuk melihat asteroid menghampiri bumi berbanding jarak dua juta km ini,” katanya.
Secara kasar, jarak dari bumi ke bulan adalah 5.25 kali ganda tetapi masih dekat untuk 2001 F032 dikategorikan sebagai ‘asteroid berbahaya’.
Jelas NASA, asteroid itu akan bergerak pada kelajuan 123,919 kilometer sejam (km/j), iaitu lebih laju berbanding kelajuan kebanyakan asteroid yang menghampiri bumi.
NASA memberitahu, ahli astronomi berharap mereka beroleh kefahaman lebih baik mengenai saiz asteroid dan idea kasar komposisinya dengan mengkaji pantulan cahaya permukaannya.
“Apabila cahaya matahari memancar permukaan asteroid, mineral dalam batu menyerap beberapa panjang gelombang sambil memantulkan yang lain.
“Dengan mengkaji spektrum cahaya yang memantul dari permukaan, astronomi dapat mengukur ‘cap jari’ kimia mineral di permukaan asteroid,” ujar agensi tersebut.
NASA menjelaskan lebih 95 peratus asteroid yang menghampiri bumi berukuran seperti FO32 2001 atau lebih besar sudah dikenal pasti dan tiada di antaranya yang berpeluang menghampiri bumi pada abad berikutnya. – AFP










