GENEVA: Sekurang-kurangnya 3,000 jururawat meninggal dunia akibat wabak Covid-19 di peringkat global.
Jumlah kematian itu secara tidak langsung memberi amaran mengenai kemungkinan lebih ramai petugas kesihatan akan meninggalkan kerjaya mereka kerana trauma dengan kesan pandemik tersebut.
Genap setahun sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pertama kali mengesahkan Covid-19 sebagai pandemik, Majlis Jururawat Antarabangsa (ICN) berkata, keletihan dan tekanan telah menyebabkan berjuta-juta jururawat mempertimbangkan untuk berhenti kerja.
Malah, ICN turut memberi amaran bahawa selepas pandemik ini berakhir, kemungkinan hanya terdapat sebilangan kecil jururawat berpengalaman yang menguruskan tugas harian biasa di hospital yang tertangguh disebabkan krisis pandemik berkenaan.
Jelas persekutuan itu, angka kematian jururawat akibat wabak Covid-19 yang dikumpulkan dari 60 negara sahaja kemungkinan merupakan kiraan kasar berbanding jumlah keseluruhannya.
Ketua Eksekutif ICN, Howard Catton berkata, para jururawat mengalami ‘trauma besar-besaran’ ketika pandemik itu, dengan didorong keletihan fizikal dan mental.
Menurut Catton, jumlah jururawat di seluruh dunia adalah sebanyak 27 juta namun mengalami kekurangan enam juta apabila pandemik berlaku dan empat juta lagi akan bersara menjelang tahun 2030.
ICN menerusi satu laporan menjelaskan bahawa pandemik tersebut boleh mencetuskan tindakan pemberhentian kerja secara beramai-ramai daripada kerjaya itu seawal pertengahan kedua tahun ini.
Tambah laporan itu, kekurangan jumlah jururawat di peringkat global mungkin meningkat kepada hampir 13 juta. – AFP









