Pakistan janji hak kemerdekaan kepada penduduk Kashmir - Utusan Malaysia

Pakistan janji hak kemerdekaan kepada penduduk Kashmir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berjanji untuk memberi rakyat Kashmir hak kemerdekaan sekiranya penduduk di wilayah Himalaya mengundi untuk menyertai negara republik itu dalam pungutan suara dibawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).    

Lapor Al Jazeera, Imran menegaskan bahawa pihaknya bersedia memberikan penduduk di wilayah yang dipertikaikan itu hak penuh untuk menentukan nasib sendiri.

“Apabila anda memutuskan mengenai masa depan dan apabila penduduk Kashmir insya-Allah menyokong Pakistan, saya ingin menyatakan bahawa Pakistan akan memberi hak sama ada mereka mahu bebas atau sebahagian negara ini.   

“Ini menjadi hak anda,” katanya ketika berucap dalam satu perhimpunan sempena Hari Solidariti Kashmir di bandar Kotli.

Pada 1948, Majlis Keselamatan PBB meluluskan satu resolusi mewajibkan pungutan suara di wilayah itu, yang antara lain memberi pilihan kepada penduduk Kashmir sama ada menyertai India atau Pakistan. 

Bagaimanapun, langkah mengadakan pungutan suara yang bebas di bawah pengawasan PBB masih tidak dilaksanakan sampai ke hari ini.

Dalam pada itu, Imran mengulangi pendirian bahawa kerajaannya bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan India.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu hanya dapat dilakukan sekiranya India menarik balik pelucutan status khas Kashmir dalam Perlembagaan.   

Dilaporkan, Menteri Luar Pakistan telah mengemukakan surat kepada Setiausaha Agung dan Ketua Majlis Keselamatan PBB yang antara lain menggesa India menghapuskan sekatan terhadap penduduk Kashmir dan menarik balik undang-undang baharu dengan tujuan membantu penempatan warga bukan Kashmir di wilayah tersebut.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya