fbpx

2 Mac 2021, 1:10 pm

  TERKINI

Lagi serpihan enjin pesawat jatuh

BEBERAPA serpihan selepas bahagian logam dari pesawat kargo Boeing 747 jatuh di sebuah bandar di Belanda. - TRACK88
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Dua orang dilaporkan cedera selepas serpihan daripada sebuah pesawat kargo jatuh di sebuah bandar di Belanda.

Menurut pihak berkuasa Belanda dan pengurusan Lapangan Terbang Maastricht Aachen, serpihan logam itu jatuh di bandar Meerssen selepas enjin pesawat Boeing 747 terbakar tidak lama selepas berlepas dari Maastricht.

Berdasarkan perkhidmatan penerbangan sewa yang memiliki kapal terbang itu, Longtail Aviation, pesawat kargo Boeing 747-400 menuju ke Lapangan Terbang JFK di New York. 

Longtail Aviation dalam satu kenyataan kepada CNN memaklumkan, anak kapal hanya menyedari masalah enjin tersebut selepas pesawat berlepas. 

“Pesawat itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Liege di Belgium. Keputusan itu dibuat dengan persetujuan kawalan trafik udara.

“Anak kapal kami menangani situasi ini secara profesional dan mengikut piawaian penerbangan betul sehingga membolehkan pendaratan dilakukan secara selamat dan lancar,” jelas Pengurus Longtail Aviation, Martin Amick. 

Tambahnya, syarikat tersebut sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dari Belanda, Belgium, Bermuda dan United Kingdom (UK) untuk menyiasat punca insiden itu.  

Dalam pada itu, pasukan pemeriksa keselamatan memaklumkan akibat masalah enjin, beberapa bahagian logam dari pesawat itu jatuh di kawasan Sint Josephstraat, Meerssen. 

Menurutnya, beberapa kenderaan dan kediaman turut mengalami kerosakan akibat insiden tersebut.

Sementara itu, pihak pengurusan Lapangan Terbang Maastricht Aachen dalam satu kenyataan menjelaskan kapal terbang itu membawa barangan am dan farmaseutikal.