ISLAMABAD: Seorang bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan oleh seorang jemaah umrah dari Pakistan di Mekah pada tahun lalu akhirnya disatukan semula dengan keluarganya semalam.
Lapor Arab News, Abdullah disatukan dengan ibu bapanya di Quetta, setahun selepas dilahirkan bagi menerima rawatan di Arab Saudi.
Bibi Hajra dan suaminya, Ghulam Haider terpaksa meninggalkan Abdullah selepas dilahirkan pada 9 Januari tahun lalu susulan visa umrah mereka sudah tamat tempoh.
Abdullah dilahirkan dengan berat sekilogram dan mengalami pelbagai komplikasi kesihatan yang memerlukan dia ditahan di hospital.
“Kami perlu pulang ke Pakistan dan meninggalkan Abdullah di hospital serta tidak boleh masuk semula ke Arab Saudi berikutan pandemik Covid-19.
“Pada mulanya, saya sangat risaukan bayi saya, namun pihak hospital memberikan penjagaan dan tumpuan penuh kepada Abdullah, terima kasih kami ucapkan atas jasa semua pihak yang terlibat,” kata Bibi.
Proses penghantaran Abdullah ke Quetta diuruskan oleh Konsulat Pakistan di Jeddah secara percuma.