fbpx

Telur ayam, cili merah naik harga di Indonesia

HARGA cili kering di Indonesia dilaporkan meningkat sehingga 70,000 rupiah. - AFP

JAKARTA: Menjelang akhir 2020, terdapat dua barangan komoditi yang harganya naik mendadak iaitu telur ayam dan cili.

Berdasarkan tinjauan detik.com di Pasar Jatinegara, Jakarta Timur, harga telur ayam boleh mencecah sehingga 30,000 rupiah (RM8.60) bagi setiap sekilogram.

Harga telur ayam di seluruh negara juga dilaporkan naik dengan harga paling mahal setakat ini adalah di wilayah Papua iaitu 42,100 rupiah (RM12) sekilogram.

Seorang daripada penjual telur di pasar tersebut, Dani mengakui kenaikan harga itu sudah berlaku sejak minggu lepas.

“Harga telur naik bermula dari 26,000 rupiah (RM7.45) kepada 30,000 rupiah sekarang,” katanya.

Selain itu, harga cili kering dan cili merah juga mencecah sehingga 70,000 rupiah (RM20) sekilogram.

Kenaikan itu juga memicu kepada kenaikan harga cili lain termasuk cili burung merah dan hijau.

Bagi cili burung merah, harga bagi sekilogram adalah 55,000 rupiah (RM15.80) sekilogram dan cili burung hijau 45,000 rupiah (RM12.90).

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Domestik (Kemendag), Syailendra, kenaikan harga telur ayam disebabkan oleh penurunan bekalan telur akibat kekurangan ayam betina yang bertelur.

Selain itu, faktor kenaikan harga makanan haiwan import juga menyebabkan harga telur ayam ketika ini meningkat.

Sementara itu, Kementerian Agrikultur memaklumkan stok telur ayam di negara ini adalah mencukupi dan tidak berkaitan dengan faktor produktiviti.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!