Letupan gegar Nashville pagi Krismas - Utusan Malaysia

Letupan gegar Nashville pagi Krismas

LOKASI kejadian letupan di bandar Nashville pada awal pagi Jumaat, selepas dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan yang mengandungi bom. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Satu letupan kuat menggegarkan bandar Nashville pada awal Jumaat, selepas polis menerima laporan mengenai penemuan senjata api di dalam kenderaan diparkir yang memberi amaran mengandungi bom.

Letupan kuat itu memusnahkan cermin bangunan dan pokok, mencederakan beberapa orang dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 pagi waktu tempatan di bandar selatan Amerika Syarikat (AS) yang sebahagian besarnya sepi kerana cuti perayaan Krismas. 

Ketua Polis, John Drake bagaimanapun mengesahkan tiada mangsa meninggal dunia.

Katanya, pihak berkuasa sedang memeriksa tisu yang dijumpai di lokasi letupan itu yang dipecayai boleh menjadi mayat manusia.  

Tambah beliau, bandar tersebut tidak menerima sebarang ancaman malah motif serangan itu masih belum diketahui.  

Insiden itu menyebabkan bangunan perniagaan rosak teruk, permukaan jalan menjadi hitam, serpihan kaca, pokok dan batu-bata bertaburan di kawasan perniagaan, restoran dan bar akibat letupan itu.

Satu mesej yang dirakam dan dimainkan daripada kenderaan terbabit memberi amaran bahawa satu bom akan meledak dalam masa 15 minit.

Seorang jurucakap polis, Don Aaron memberitahu, amaran tersebut memberi masa yang mencukupi kepada skuad anti-bom untuk mengosongkan lokasi tersebut.

Dalam pada itu, seorang saksi memberitahu akhbar Tennessean bahawa suara amaran dalam rakaman berkenaan merupakan suara seorang wanita.

“Kosongkan sekarang. Ada bom di dalam kenderaan ini dan ia akan meletup,” katanya. 

Beberapa gambar dimuat naik dalam laman media sosial selepas insiden itu menunjukkan kepulan asap hitam daripada kenderaan yang meletup dan terbakar itu serta keadaan hadapan kedai yang musnah.

Letupan itu berlaku berhampiran kemudahan komunikasi AT&T dan menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi di kebanyakan kawasan berkenaan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Nashville mengumumkan menggantung beberapa penerbangan kerana ‘isu telekomunikasi’ berkaitan letupan berkenaan.

Dalam pada itu, polis menggambarkan insiden letupan itu sebagai tindakan yang disengajakan ketika pasukan penyiasat berusaha mencari petunjuk di sebalik serpihan letupan itu. – AFP   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya