fbpx

Kekejaman polis India jadi ‘pandemik’

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Kebangsaan India (NHRC) menyatakan sekurang-kurangnya 194 orang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis sejak 2019. - AFP

BENGALURU, India: Hanya berbaki beberapa minit sebelum India menyambut Hari Kebangsaan, pasukan polis menyerbu sebuah kawasan rumah setinggan di bahagian barat negeri Gujarat ketika Hira Bajania, 65, sedang lena diulit mimpi.

Dalam kegelapan malam, dia diheret ke balai polis dan didakwa bersama 11 lagi lelaki atas kesalahan mencuri telefon bimbit. Selepas itu, seorang demi seorang termasuk Bajania disoal siasat selama 30 minit dan sepanjang tempoh itu, kesemua suspek dipukul, dibogelkan, malah didera secara seksual untuk mengaku kesalahan mereka.

Kira-kira pukul 5.30 pagi keesokan harinya, Bajania tiba-tiba pengsan dan rakan-rakan selnya memaklumkan kepada polis mengenai keadaan lelaki itu yang dikatakan sudah meninggal dunia.

Polis pada mulanya tidak percaya, namun selepas pemeriksaan perubatan dilakukan, Bajania disahkan meninggal dunia dan kematiannya tidak terbela sehingga kini.

Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan India (NHRC), sekurang-kurangnya 194 orang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis sejak 2019, menyaksikan polis menggunakan kekejaman sehingga menyebabkan kematian melibatkan tahanan bukan isu ‘asing’.

 

Sering terlepas tindakan

Hanya 21 anggota polis pernah didakwa antara 2005 dan 2010 atas kesalahan menyebabkan kecederaan atau kematian kepada tahanan, biarpun hampir 600 kes direkodkan sehingga kini.

Situasi itu dilaporkan semakin menjadi-jadi sehingga integriti badan keadilan dan keselamatan itu di persoalkan oleh rakyat India, malah turut dipantau antarabangsa.

 

Ditangkap kerana miskin

Seorang tahanan, Shankar Bajania, 40, memaklumkan dia ditahan sejak Ogos lalu atas dakwaan mencuri walhal sepanjang hayatnya, dia tidak pernah melakukan perbuatan itu.

“Kami ditangkap kerana kami miskin dan kami dijadikan kambing hitam untuk menutup kes yang tak pernah kami tahu bila berlaku, siapa dalang dan apa kaitannya dengan kami,” katanya.

 

Pukul orang miskin tidak beri kesan

Suhas Chakma dari pertubuhan bukan kerajaan, Kempen Menentang Penyeksaan Kebangsaan (NCAT) memaklumkan angka rasmi melibatkan korban tahanan polis mungkin ‘tidak dilaporkan secara tepat’.

Katanya, sebanyak 76 peratus kematian tahanan polis yang direkodkan pada tahun lalu adalah diakibatkan oleh penyeksaan dan 19 peratus lagi berpunca daripada faktor lain termasuk penyakit dan bunuh diri.

“Polis tidak akan ambil tahu semua kematian tahanan jika tiada pihak yang memperbesarkan isu tersebut dan mereka seboleh-bolehnya akan menyembunyikan hal sebenar dengan memaklumkan punca kematian adalah sebab penyakit atau bunuh diri,” ujarnya.

 

Jenis seksaan di dalam sel

NCAT turut mendedahkan beberapa penyeksaan yang dilakukan oleh anggota polis terhadap tahanan bagi memaksa mereka mengaku atas kesalahan yang dilakukan.

Antaranya termasuk dipukul dengan baton, mengetuk kuku menggunakan penukul besi dan melumurkan bahagian kemaluan dengan serbuk cili.

 

Kisah dua beranak jadi perhatian

KEMATIAN Jeyaraj (kiri) dan anak lelakinya, Bennicks (kanan) mendapat liputan meluas di India. – AGENSI

Isu kekejaman polis India semakin mendapat perhatian apabila kisah dua beranak yang mati dalam tahanan mendapat liputan meluas media tempatan.

Pada 19 Jun lalu, Jeyaraj, 62 dan anak lelakinya, Bennicks, 32, membuka kedai menjual telefon di Sathamkulam, Tamil Nadu ketika mereka ditahan polis kerana didakwa melanggar perintah berkurung susulan pandemik Covid-19.

Kedua-dua beranak itu ditahan reman dan selepas tiga hari, pada 22 Jun, Bennicks dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia dua jam kemudian. Bapanya turut dimasukkan ke hospital yang sama dan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Satu video tular menerangkan dengan jelas mengenai apa yang menimpa bapa serta anak tersebut dan terdapat dakwaan mereka meninggal akibat diseksa secara seksual oleh anggota polis.

 

Tindakan pihak berkuasa

Susulan kes tersebut, sebanyak 10 anggota polis didakwa atas kesalahan membunuh, memusnahkan bukti, menyalahgunakan kuasa, mengemukakan bukti palsu dan penahanan yang salah.

 

Penduduk Islam jadi sasaran

Laporan NCAT mendapati 60 peratus tahanan polis yang meninggal dunia pada 2019 berasal dari keluarga miskin dan komuniti terpinggir seperti penduduk beragama Islam dan berkasta paling rendah.

“Golongan miskin merupakan sasaran paling mudah untuk polis jadikan mereka sebagai kambing hitam, termasuk diseksa hingga mati tanpa risau dikenakan sebarang tindakan,” kata peguam, I. Pandiyan. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN