fbpx

Wanita simbah air panas pada paha teman lelaki

SEORANG wanita dipenjara empat tahun selepas bersalah kerana menyimbah air panas ke paha teman lelakinya. - AGENSI

SINGAPURA: Seorang wanita dihukum penjara empat tahun kerana menyimbah air panas di bahagian pangkal paha bekas teman lelakinya selepas mengesyaki lelaki itu curang dengannya.

Lapor Channel News Asia, Zareena Begum PAM Basheer Ahamed, 50, akan membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan mangsa cedera parah menggunakan bahan yang panas.

Pada sesi perbicaraan, wanita itu membantah pertuduhan tersebut dengan alasan kejadian yang berlaku adalah kemalangan semata-mata.  

“Air panas dari cawan tertumpah ke atas mangsa apabila dia menarik tangan sayat,” katanya.  

Hampir 12 peratus tubuh bekas teman lelaki Zareena melecur dengan tahap dua serta tiga, selain dimasukkan ke hospital selama 26 hari dan menjalani tiga prosedur pembedahan termasuk cantuman kulit.

Menurut mangsa, kesakitan yang dialami membuatkannya sehingga mahu mati dan kecederaan pada tubuh badan juga akan meninggalkan parut kekal.  

Pihak pendakwa raya memohon tempoh penjara dikenakan sekurang-kurangnya lima tahun dengan tambahan tiga bulan bagi menggantikan hukuman sebat manakala pihak pembelaan pula meminta dua tahun. 

“Saya berpendapat bahawa tempoh penjara empat tahun adalah setimpal dengan kesalahan dan jenayah atas tindakan tertuduh serta hukuman mencukupi,” kata hakim.

Zareena menjalin hubungan dengan mangsa yang sudah pun berkahwin selama 11 tahun sejak 2006 dengan lelaki tersebut berjanji untuk berkahwin dengannya.

Namun, pada 2015, Zareena mengesyaki teman lelakinya mempunyai hubungan sulit selepas melihatnya dengan wanita lain.

Zareena kini dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu proses rayuannya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN