BAYRAKLI, Turki: Pasukan penyelamat berdepan masa suntuk dalam meneruskan operasi mencari serta menyelamat (SAR) mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah timbunan bangunan runtuh akibat gempa bumi yang melanda Turki dan Greece kelmarin.
Gempa bumi itu setakat ini meragut sebanyak 37 nyawa di Izmir, Turki dengan hampir 900 lagi cedera dan dua orang dilaporkan terkorban di Greece.
Pihak berkuasa Turki merekodkan sebanyak 600 gempa susulan dengan puluhan daripadanya berukuran lebih empat skala Richter, sekali gus menyukarkan operasi SAR untuk membawa keluar mangsa yang terperangkap.
Di Bayrakli iaitu daerah berhampiran Izmir menyaksikan sebanyak 17 bangunan runtuh dengan ramai penduduk berharap ahli keluarga mereka masih hidup ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus melakukan operasi SAR.
Harapan menemukan lebih banyak mangsa masih hidup terus bertambah apabila seorang wanita dan tiga anaknya ditemukan hidup selepas terperangkap di bawah runtuhan selama 24 jam.
Kerajaan Turki memaklumkan seramai 103 penduduk berjaya diselamatkan sehingga malam tadi.
Sementara itu di Greece, pihak berkuasa memberi jaminan untuk membaik pulih semua bangunan dan gereja yang musnah dalam tempoh terdekat. – AFP










