Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
(Yang mengikuti program Elections 2020: A virtual reporting tour of
the United States and the American electoral process anjuran Jabatan
Negara Amerika Syarikat)
PERANG mulut sudah, berbalah pun sudah malah segala akujanji dilaungkan demi mengaut undi warga Amerika Syarikat (AS) dalam pilihan raya Presiden, esok (3 November).
Donald Trump sudah tentu mahu mempertahankan kedudukannya untuk penggal kedua, mendapat saingan sengit ‘Biden Harris’, merujuk kepada gabungan nama calon Presiden, Joe Biden dan gandingannya, Kamala Harris (calon Naib Presiden) daripada Parti Demokrat.
Trump masih memberi kepercayaan kepada regunya, Mike Pence, untuk berdepan Harris, meletakkan senator dari California itu bakal menjadi wanita kulit hitam pertama jika terpilih memegang jawatan tersebut.
Pilihan raya kali ini cukup mencabar, ketika berita-berita mengenai pandemik Covid-19 masih ‘menguasai’ media, menenggelamkan sejenak ‘keceluparan’ Trump dan jawapan balas Biden terhadap kritikan calon daripada Republikan itu.
Umpama si badut. Itu gelaran yang diberikan Biden kepada Trump. Ini kerana Trump sering mengganggu dan mencelah ketika Biden berbahas dalam sesi debat pertama, September lalu.
“Anda adalah Presiden terburuk pernah dimiliki Amerika,” jelas Biden yang turut menyebut Trump sebagai rasis.
Trump kemudiannya menjadi terlalu ‘sensitif’ ketika Biden memerli beliau mengenai caranya menangani pandemik Covid-19 di AS.
Ketika ini, AS masih berada di kedudukan teratas jumlah jangkitan Covid-19 dengan lebih sembilan juta kes.
Sejak dari awal lagi, Trump ‘terlalu banyak’ membuat kenyataan ‘makan diri’ mengenai Covid-19 termasuk memanggil virus itu sebagai ‘virus China’ yang menambahkan lagi api bara konflik dengan Beijing.
Topik mengenai Covid-19 menampakkan ‘sisi juara’ Biden yang tak habis-habis menggunakannya untuk memerli Trump.
Menambahkan lagi amarah Trump apabila Biden menuduh Presiden tidak bertindak secara bijak dalam menangani isu jangkitan virus itu.
Tetapi, Trump membalas kenyataan tersebut dengan mengaitkan kegagalan Biden menangani isu virus Influenza A (H1N1) dengan baik ketika beliau menjadi Naib Presiden AS.
Berjayakah Biden dan Trump mempengaruhi pengundi, khususnya negeri atas pagar, dalam sesi debat? Penting sangatkah debat dalam pilihan raya Presiden?
Dr. Mitchell S. McKinney, Profesor Komunikasi dari University of Missouri dalam sesi taklimatnya mengenai Peranan Debat Presiden AS berkata: “Tidak mungkin ada yang membuat keputusan pengambilan pekerja tanpa menemu bual mereka.”
Itulah ibarat yang beliau gunakan dalam pemilihan Presiden tanpa melihat ‘gelagat’ para calon dalam sesi debat, melihat bagaimana mereka berdepan sesuatu isu dan ‘bercakap’ mengenai isu terbabit.
Selain Covid-19, isu paling mencabar untuk dipertimbangkan pengundi adalah ekonomi dan bagaimana tahun-tahun mendatang, AS akan mendepani isu tersebut yang turut membelenggu global.
Isu hal ehwal luar terutama hubungan diplomatik dengan China dan sekutunya Korea Selatan juga menjadi ‘sisi gelap’ pentadbiran Trump sebelum ini. Isunya masih belum selesai.
Rakyat AS masih belum lupa dengan beberapa siri kejadian shutdown ketika pentadbiran Trump sehingga menjejaskan fungsi kerajaan.
Pokok pangkalnya, terpulang kepada rakyat AS. Masih relevankah Trump di mata mereka atau mahukan Biden? Semuanya bakal ditentukan esok.
Kata orang, Biden dilihat bijak memilih Harris sebagai gandingan. Wanita ini memiliki ‘aura’ yang energetik untuk menjadi pemangkin kemenangan Biden.










