LONDON: Seekor burung merpati dari Belgium dinobatkan sebagai burung paling mahal di dunia selepas seorang peminat burung menawarkan harga bidaan setinggi AS$1.5 juta (RM6.17 juta) secara dalam talian.
Oddity Central melaporkan, burung berusia dua tahun yang diberi nama, New Kim itu adalah kepunyaan Hok Van De Wouwer yang merupakan penternak burung merpati terkenal di Antwerp, Belgium.
Dia mempunyai kemahiran tinggi dalam menternak burung tersebut selain pernah memenangi banyak gelaran di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, sekali gus menjadikan burung ternakannya menjadi pilihan peminat burung di seluruh dunia.
Namun, ramai yang tidak menyangka New Kim memecahkan rekod dunia menjadi merpati termahal.
Dalam tempoh satu jam setengah selepas lelongan secara dalam talian dalam laman web Pipa Piegon Paradise, New kim menerima 226 bidaan dengan nilai tertinggi mencecah jutaan ringgit.
Harga itu tidak berganjak dan dalam tempoh berbaki empat jam yang tinggal, ia sudah menjadi burung merpati paling mahal mengatasi rekod spesies Belgium, Armando yang dibeli oleh peminat burung dari Vhina sebanyak 1.25 juta euro (RM6.1 juta) pada 2019.
Lelongan tersebut akan berakhir pada 15 November depan dan tawaran masih dibuka kepada orang ramai dengan nilai tawaran tertinggi masih menjadi milik pembida dari Afrika Selatan.
Bagi memastikan lelongan harga itu tidak ditarik balik, pihak penganjur menetapkan deposit sebanyak 20 peratus daripada jumlah keseluruhan tawaran apabila melebihi 500,000 euro (RM2.4 juta).
Disebabkan tawaran yang sangat tinggi, New Kim kini dijaga oleh syarikat keselamatan bagi memastikan tiada masalah berlaku sehingga diserahkan kepada pemilik baharunya.










