WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan menjadi negara pertama yang berjaya menghasilkan vaksin mencegah jangkitan Covid-19 dalam sejarah dunia menerusi kerjasama antara syarikat farmaseutikal Pfizer dan firma bioteknologi Jerman, BioNTech.
Negara ini juga dilihat berupaya menghasilkan kira-kira 600 juta dos vaksin hanya dalam tempoh beberapa bulan, selain kempen vaksinasi secara besar-besaran juga tidak asing lagi menyaksikan pelbagai pihak sudah lama menggalakkan rakyatnya mematuhi program vaksinasi untuk mencegah jangkitan demam campak dan influenza.
Namun, vaksin baharu yang dihasilkan untuk mencegah Covid-19 dilihat berdepan dengan tiga masalah utama iaitu masa yang singkat untuk memastikan sejumlah besar populasi dunia mendapat suntikan pertama.
Masalah kedua, vaksin yang diberi nama BNT162b2 itu perlu disimpan pada suhu sejuk iaitu -70 darjah Celsius berbanding vaksin influenza lain yang hanya boleh disimpan dalam peti sejuk biasa.
Selain itu, vaksin berkenaan perlu diberi sebanyak dua dos bagi memastikan keberkesanannya mencegah jangkitan Covid-19.
Vaksin keluaran Pfizer akan diedar menerusi kilang pembuatan terbesar di kalamazoo, Michigan dan proses penghantaran melibatkan kontena, trak dan pesawat yang perlu mematuhi masa dengan tepat tanpa sebarang kecuaian.
Bagi menghantar vaksin berjumlah 975 botol yang masing-masing mengandungi lima dos dengan jumlah keseluruhan sebanyak 4,875 dos, setiap bekas termal yang digunakan perlu diisi dengan ais kering bagi memastikan suhu dapat dikekalkan.
Sebanyak enam trak akan digunakan bagi menghantar kesemua dos tersebut ke kargo udara untuk diedarkan di seluruh AS dalam tempoh dua hari.
Pfizer menjangkakan secara purata sebanyak 20 penerbangan kargo sehari ke destinasi seluruh dunia.
Syarikat kargo, FedEx pula perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa penerbangan untuk membawa sejumlah besar bekalan ais kering yang boleh menimbulkan risiko keselamatan terhadap kru penerbangan.
Tidak cukup dengan itu, sebaik sahaja kotak yang berisi vaksin tiba di destinasinya, ia hanya boleh dibuka dua kali sehari.
Pakar pandemik di Universiti Negeri North Carolina, Julie Swann berkata, tiada masalah untuk menubuhkan klinik vaksin secara besar-besaran di seluruh AS.
Namun, masalah timbul apabila vaksin itu tidak sesuai untuk diedarkan di pejabat doktor dan farmasi yang kapasitinya terlalu sempit.
“Pada peringkat permulaan, rakyat negara ini mungkin perlu mendapatkan vaksin di hospital atau ke pusat pengedaran vaksin terbesar,” katanya.
Vaksin tersebut dilaporkan boleh bertahan selama dua minggu dalam kotak dan hospital tidak memerlukan peti sejuk khas untuk menyimpannya.
Dalam pada itu, kerajaan AS ketika ini sedang menyusun edaran vaksin percuma ke seluruh negara dan wilayah terlibat dengan setiap pihak berkuasa tempatan diberi tanggungjawab untuk mengedarkannya ke hospital, farmasi, universiti dan syarikat.
Bagaimanapun, perkara yang paling penting ketika ini adalah untuk memastikan vaksin tersebut dapat diedarkan ke negara-negara miskin sebelum penghujung tahun ini.
Pakar kesihatan di Pusat Pembangunan Global, Prashant Yadav berharap agar negara-negara miskin yang tidak mempunyai kemudahan penyimpanan vaksin dalam skala besar boleh mendapat bekalan dos pertama dalam tempoh terdekat ini.
Hal ini kerana, negara miskin tidak akan mampu menyediakan peti sejuk khas yang menelan belanja besar bagi menyimpan vaksin berkenaan.
Sementara itu, Pfizer jangka untuk menghasilkan 50 juta dos dalam tahun ini dan 1.3 bilion pada 2021 dan AS sendiri sudah menempah sebanyak 100 juta dos termasuk 20 hingga 30 juta untuk penghantaran sebelum hujung Disember ini. – AFP










