Covid-19: Vaksin mana paling hebat? - Utusan Malaysia

Covid-19: Vaksin mana paling hebat?

SAINTIS percaya suntikan separuh dos vaksin mampu menguatkan sistem daya lawan jangkitan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Tiada pihak yang boleh mendakwa vaksin yang dibangunkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 berkesan 100 peratus. 

Malah, kajian keberkesanan awal vaksin hanya dapat menentukan fungsinya, kesan sampingan yang perlu diselesaikan serta kuantiti yang diperlukan bagi melindungi seluruh populasi penduduk daripada jangkitan Covid-19. 

Sebelum ini, ramai berlumba-lumba menghasilkan vaksin Covid-19 tetapi kini persaingannya lebih tertumpu kepada vaksin paling hebat dalam mencatatkan tahap keberkesanan yang tinggi.

Kebanyakan media terutamanya di Britain memberi gambaran bahawa vaksin buatan Oxford dan AstraZeneca adalah paling bagus berbanding vaksin Covid-19 keluaran syarikat lain.

Lapor Daily Mail, hasil keputusan yang amat memberangsangkan dari kumpulan penyelidik Universiti Oxford dan AstraZeneca turut memberi harapan besar kepada Britain dan seluruh dunia untuk menamatkan pandemik seawal tahun depan.

Walaupun vaksin dibangunkan syarikat farmaseutikal, Pfizer dan firma bioteknologi, Moderna memainkan peranan penting, vaksin dihasilkan Oxford dilihat jauh lebih sesuai untuk program vaksinasi berskala besar yang melibatkan berbilion-bilion penduduk.

 

Kaedah simpanan dan edaran 

Vaksin buatan Oxford boleh disimpan dalam suhu peti sejuk biasa manakala dua vaksin keluaran syarikat lain pula memerlukan suhu terlampau sejuk.

Malah, harga vaksin ini juga jauh lebih murah iaitu antara dua pound (RM10.92) hingga tiga pound (RM16.38) bagi satu dos berbanding vaksin versi Pfizer sebanyak 15 pound (RM81.88) serta keluaran Moderna sekitar 19 pound (RM103.72) dan 28 pound (RM152.87).

 

Vaksin mana paling banyak ditempah ?

Britain melabur paling banyak dalam vaksin keluaran Oxford dengan tempahan sebanyak 100 juta dos berbanding vaksin keluaran lain.

 

Vaksin mana yang lebih baik ?

Data kajiannya agak sama dengan setiap satu vaksin memberi perlindungan kira-kira 90 peratus pada dos yang optimum.

 

Mengapa pemberian separuh dos vaksin pada peringkat awal lebih efektif ? 

Saintis percaya suntikan separuh dos vaksin mampu menguatkan sistem daya lawan jangkitan (imun) dan dos penuh yang kedua pula meningkatkan perlindungan.

Pemberian dos penuh pada suntikan pertama boleh menyebabkan sistem imun bertindak keterlaluan dan membunuh sel-sel penting di mana vaksin bergantung.              

 

Bila vaksin akan diedarkan ?

Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengedarkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech pada minggu pertama selepas ia diluluskan bagi penggunaan kecemasan. Ia dijangka pada bulan depan.

 

Siapa penerima pertama vaksin ?

Pasukan petugas barisan hadapan, golongan pesakit kronik dan paling berisiko terdedah dengan jangkitan akan menerima vaksin Covid-19 terlebih dahulu.

 

Apakah dos vaksin mencukupi ?

Ketika ini mencukupi. AstraZeneca berjanji untuk mengedarkan vaksin bagi lapan juta penduduk yang akan menerima dos pertama pada akhir bulan depan.

Pada masa sama, Pfizer juga akan membekalkan vaksin kepada sekurang-kurangnya lima juta penduduk.   

 

Vaksin mana akan digunakan ? 

Vaksin keluaran Oxford mungkin digunakan di hospital dan pusat vaksinasi kecil kerana mudah disimpan dalam peti sejuk. 

Vaksin buatan Pfizer dan Moderna pula akan digunakan di program vaksinasi berskala besar yang diadakan di dewan persidangan, saringan secara pandu lalu, stadium bola sepak yang mempunyai ruang menempatkan peti sejuk khas.   

 

Tempoh perlindungan 

Perkara ini belum jelas lagi namun kumpulan penyelidik Oxford percaya suntikan vaksin itu mampu memberi perlindungan sekurang-kurangnya selama setahun.

Mereka juga mencadangkan rakyat harus mendapatkan suntikan vaksin setiap tahun.

 

Apa risikonya ?

Data kajian penuh masih belum dikeluarkan lagi namun boleh dianggap selamat.

Vaksin dibangunkan Oxford telah diberikan kepada sukarelawan sejak April lalu dan dua vaksin lain pula mempunyai data keselamatan sekurang-kurangnya dua bulan.

 

Apakah vaksin mampu menamatkan wabak Covid-19 ?

Beberapa pakar amat yakin bahawa program vaksinasi sekurang-kurangnya mampu menamatkan sekatan Covid-19 pada tahun depan.

Sebelum ini, saintis meramalkan vaksin yang memberi 80 peratus perlindungan tidak memerlukan penjarakan sosial.

Ia mungkin mengambil masa beberapa tahun lagi bagi seluruh populasi dunia menjalani vaksinasi dan wabak Covid-19 boleh kembali semula dari semasa ke semasa. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya