BEIJING: Langkah Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan senjata kepada Taiwan hanya akan memburukkan lagi tindakan ketenteraan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) terhadap kepulauan demokratik itu.
Lapor South China Morning Post, seorang pengulas isu ketenteraan berpangkalan di Hong Kong, Song Zhongping menyifatkan bekalan senjata yang bakal dibeli oleh Taiwan boleh menimbulkan situasi berbahaya.
“Malah, ia boleh digunakan untuk menyerang kawasan perhimpunan PLA di pantai daratan sebelum berangkat atau kapal mereka semasa merentasi selat sekiranya PLA mengambil tindakan ketenteraan ke atas Taiwan,” katanya.
Song berkata, penjualan senjata itu secara teorinya mampu menimbulkan masalah kepada PLA namun terdapat beberapa langkah pencegahan efektif untuk meminimumkan impak tersebut.
Antara langkah tersebut adalah menyerang pejuang yang membawa peluru berpandu dan sensor sebelum mereka melarikan diri.
Jelas beliau, jumlah senjata terhad yang dimiliki Taiwan ketika ini tidak mungkin dapat mengubah kekuatan tentera di sepanjang selat tersebut.
Melalui perjanjian tersebut, Taiwan bakal menerima High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS), Standoff Land Attack Missile-Expanded Response (SLAM-ER) dan pod sensor luaran bagi jet pejuang F-16.
Empat lagi senjata yang dicadangkan untuk dijual kepada Taiwan meliputi pesawat udara tanpa pemandu yang merupakan sejenis dron tempur MQ-9B, peluru berpandu anti-kapal Harpoon dan periuk api tentera laut yang canggih.
Sementara itu, CNN melaporkan, Presiden China, Xi Jinping mengarahkan pasukan tenteranya menumpukan segala tenaga mereka dalam persiapan untuk berperang.
Berdasarkan laporan agensi berita, Xinhua, pemimpin tertinggi itu membuat kenyataan tersebut ketika lawatan ke pangkalan tentera di wilayah selatan Guangdong.
Menurut Xinhua, Jinping ketika meninjau Kor Marin PLA di Bandar Chaozhou memaklumkan pasukan tenteranya untuk kekal berwaspada selain meminta mereka menjadi setia, bersih dan boleh dipercayai.
Lawatan ketenteraan itu berlaku ketika ketegangan antara China dan AS semakin memuncak sejak beberapa dekad berhubung beberapa isu termasuk perselisihan faham mengenai Taiwan dan pandemik Covid-19 yang mewujudkan perpecahan besar antara kedua-dua negara itu.
Dalam pada itu, Jurucakap Menteri Luar Beijing, Zhao Lijian mendesak Washington untuk segera membatalkan sebarang rancangan penjualan senjata ke Taiwan dan memutuskan semua hubungan ketenteraan AS-Taiwan.










