WASHINGTON: Selekeh, itu perkataan yang boleh menggambarkan rekaan baju baharu jenama mewah Ralph Lauren.
Lapor portal Odditycentral, Ralph Lauren tampil dengan pakaian terbaharu, overall yang menampilkan rekaan disimbah cat berwarna putih, namun dijual pada harga terlalu mahal iaitu sebanyak AS$695 (RM2,883.21).
Pakaian itu dikecam oleh rata-rata warganet di laman media sosial kerana rekaannya yang tidak menyerupai pakaian mewah malah kelihatan buruk dengan kotoran di bahagian lutut dan ke bawah.
Rekaan itu menggunakan asas berupa kain kapas satin dari Jepun namun rekaan tersebut tidak memperlihatkan kemewahan ekoran idea simbahan cat tersebut tidak memainkan peranan.
Seorang pengguna Twitter mengkritik syarikat berjenama tersebut yang menjual pakaian itu pada harga yang mahal sama seperti dia boleh menjual seluar dipakainya untuk ke kerja.
“Ralph Lauren kini menjual overall kesan simbahan cat pada harga terlampau mahal, saya pun boleh mula menjual seluar kerja saya,
“Kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya,” katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial secara sinis mencadangkan agar pengecat menjual pakaian mereka di laman eBay.
“Mari lah jual pakaian kerja anda di platform eBay dan memperoleh keuntungan yang besar,” katanya.










