MH17: Rusia cabut lari - Utusan Malaysia

MH17: Rusia cabut lari

NAHAS MH17 pada Julai 2014 mengorbankan kesemua 298 penumpangnya selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia hari ini menyertai Belanda yang mengecam keputusan Rusia untuk menarik diri daripada rundingan berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, menyebabkan 298 penumpangnya terbunuh pada 2014.

Rundingan kes tersebut sudah berlangsung sejak 2018 melibatkan ketiga-tiga negara termasuk Australia, Belanda dan Malaysia yang bertujuan mencari punca kejadian serta pihak bertanggungjawab.

Seramai 38 warga Australia dan 196 rakyat Belanda  menaiki penerbangan MH17 ketika pesawat terbabit ditembak jatuh di wilayah Donetsk yang menjadi kubu puak pemisah pro-Rusia.

Belanda dan Australia sebelum ini mendesak supaya Rusia bertanggungjawab atas nahas yang berlaku dan sehingga kini, Moscow menafikan penglibatan selain mendakwa Ukraine yang harus dipertanggungjawabkan.

Semalam, Rusia memaklumkan negara itu akan menarik diri daripada rundingan dengan alasan ‘pelbagai pihak cuba meletakkan beban dan kesalahan terhadap Moscow’, termasuk kes yang dikemukakan Belanda di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.

Menteri Luar Australia, Marise Payne berkata, beliau berasa amat kecewa dengan keputusan Rusia.

“Kami menggesa agar Rusia meneruskan rundingan kerana Australia komited untuk mencari kebenaran dan keadilan untuk semua mangsa MH17 serta keluarga mereka,” katanya.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte turut melahirkan pandangan sama dan terkejut dengan tindakan Moscow yang disifatkan ‘melukai hati keluarga mangsa’.

Dalam pada itu, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kouleba dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan Rusia menarik dari daripada rundingan menggambarkan negara itu sebagai ‘pengecut untuk berdepan dengan realiti apa yang berlaku pada 17 Julai 2014’.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Rusia akan tetap meneruskan rundingan walau apa jua alasan yang diberi.

Pada Mac lalu, mahkamah Belanda memulakan sesi perbicaraan melibatkan empat suspek dengan tiganya dari Rusia dan seorang lagi dari Ukraine yang dituduh menembak jatuh pesawat MH17. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya