JAKARTA: Ketua Staf Presiden Indonesia, Moeldoko menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Cipta Kerja bertujuan memudahkan pelbagai peraturan berhubung sektor pekerjaan supaya tidak mengelirukan golongan pekerja.
Beliau berkata, peraturan yang pelbagai dan bertindih secara tidak langsung memicu kepada kerenah birokrasi dan Cipta Kerja dilihat sebagai alternatif terbaik untuk mengubah masalah tersebut.
Katanya, penolakan Cipta Kerja secara besar-besaran adalah disebabkan oleh salah faham dalam kalangan penduduk.
“Setakat ini, masyarakat sering mengadu tentang birokrasi yang menghalang pelbagai perkara atau keputusan dilakukan secara telus dan keadaan itu menjadikan tahap persaingan di Indonesia berada bawah Malaysia di Asia Tenggara.
“Saya berpandangan, mungkin Presiden Joko Widodo (Jokowi) berasa malu dengan keadaan tersebut kerana beliau hanya ingin melihat Indonesia lebih maju dan berdaya saing di peringkat global,” katanya seperti yang dilapor Suara.com.
Selain itu, Moeldoko menyatakan Cipta Kerja dilihat mampu mengubah ‘wajah’ Indonesia.
“Wajah Indonesia adalah wajah rakyat yang mempunyai daya saing, peluang, kerjaya dan masa depan yang baik.
“Undang-undang tersebut mewujudkan peluang kerjaya seluas-luasnya dan itu menjadi antara fakta paling penting dalam Cipta Kerja,” ujarnya.
RUU tersebut mencetuskan beberapa siri tunjuk perasaan melibatkan golongan pekerja dan mahasiswa di seluruh Indonesia.
Persatuan Badan Eksekutif Mahasiswa Universiti Kebangsaan (BEM-SI) memaklumkan satu lagi demonstrasi besar-besaran menolak pelaksanaan undang-undang tersebut akan diadakan pada Selasa ini.
Lapor CNN, Penyelaras Kumpulan BEM-SI, Remy Hastian berkata, demonstrasi yang bakal berlangsung itu disebabkan mereka gagal bertemu dengan Jokowi dalam tunjuk perasaan di Patung Kuda Arjuna Wiwaha, Jalan Medan Merdeka Barat di Jakarta Pusat semalam.










