LONDON: Hajat sebuah keluarga pendatang untuk memasuki negara ini untuk memulakan kehidupan baharu tidak kesampaian apabila empat daripada lima ahli keluarga mereka mati lemas apabila bot yang dinaiki ketika merentasi Selat Inggeris karam.
The Guardian melaporkan, Rasul Iran Nezhad dan isterinya, Shiva Mohammad Panahi, masing-masing berusia 35 tahun serta dua anaknya iaitu Anita, 9, dan Armin, 6, mati lemas ketika bot yang dinaiki karam ketika mereka dalam perjalanan dari Perancis ke Britain.
Lebih menyedihkan, nasib anak bongsu keluarga tersebut iaitu Artin yang berusia 15 bulan, masih tidak diketahui walaupun pihak berkuasa Perancis memberitahu ada kemungkinan bayi itu juga lemas dalam kejadian tersebut.
Keluarga tersebut berasal dari bandar barat laut Sardasht, Iran.
Abang kepada Rasul, Khalil berkata, kali terakhir dia mendengar khabar dari keluarga berkenaan adalah dua hari lalu.
Katanya, mereka berjaya merentas dari Iran ke Turki pada musim panas sebelum meneruskan perjalanan ke Perancis menerusi Eropah.
Kata Khalil, Rasul hanya merupakan pekerja berpendapatan rendah sementara isterinya pula tidak bekerja dan mereka cuba sedaya upaya untuk keluar daripada kekangan ekonomi.
Seorang jurucakap dari pertubuhan hak asasi manusia Hengaw berkata, keluarga itu telah cuba memasuki United Kingdom (UK) sebanyak dua kali dengan menaiki kereta api tetapi kedua-dua percubaan itu gagal.
Oleh itu, katanya, keluarga tersebut terpaksa membayar sindiket penyeludupab untuk membawa mereka masuk ke Britain melalui jalan laut.
Seorang kenalan rapat keluarga itu yang mahu dikenali sebagai Ali berkata, keluarga itu tperlumembayar kira-kira 5,000 hingga 6,000 euro (RM24,415 hingga RM29,298) untuk membawa mereka menaiki bot.
“Shiva beritahu saya bahawa mereka tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar penyeludup dan terpaksa meminjam daripada ibu bapa serta mentuanya.
“Mereka juga telah menjual semua barangan kemas dan berharga bagi membayar penyeludup,” katanya.










