Dunia gagal tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

Dunia gagal tangani Covid-19

SETIAUSAHA Agung PBB, Antonio Guterres. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Keadaan dunia yang ketika ini disifatkan ‘berpecah-belah’ menjadi antara punca utama usaha mengekang penularan Covid-19 gagal dan situasi itu boleh mengheret jutaan penduduk ke dalam kancah kemiskinan serta kebuluran.

Lapor Channel News Asia, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan dunia untuk menamatkan penularan Covid-19 yang sudah meragut lebih sejuta nyawa di seluruh dunia.

“Pandemik Covid-19 merupakan satu cabaran global yang perlu ditangani oleh seluruh komuniti antarabangsa, termasuk saya sebagai Setiausaha Agung PBB.

“Malangnya, keadaan dunia ketika ini yang berpecah-belah dilihat hanya akan memberi peluang kepada pandemik itu untuk terus bermaharajalela,” katanya.

Jelas beliau, jika tiada pendekatan diambil segera, Covid-19 boleh menyebabkan krisis kebuluran dan kemiskinan global menjadi semakin teruk sehingga ‘sukar dibayangkan’.

Guterres turut mengkritik negara-negara yang enggan bersatu padu menyelesaikan konflik global seperti di Afghanistan, Yemen dan Syria.

“Keadaan itu sangat mengecewakan kerana seolah-olah tiada siapa peduli apa yang berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia direkodkan naik mendadak lebih 400,000 kes dalam masa sehari semalam, sekali gus menunjukkan pandemik tersebut tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat.

Eropah yang sebelum ini berjaya mengawal gelombang pertama jangkitan Covid-19 kini menjadi titik pusat penularan wabak tersebut dengan merekodkan purata kes sebanyak 140,000 sehari sejak minggu lalu.

Berdasarkan analisis yang dilakukan Reuters, setiap 100 jangkitan yang dilaporkan di seluruh dunia, 34 daripadanya berlaku di negara Eropah.

Benua Eropah kini mencatatkan jutaan kes jangkitan baharu bagi setiap sembilan hari dengan lebih 6.3 juta kes dilaporkan sejak pandemik itu berlaku.

Kebanyakan negara Eropah termasuk United Kingdom (UK), Perancis, Rusia, belanda dan Sepanyol menyumbang kepada separuh kes jangkitan baharu dalam minggu ini.

Perancis mencatat jumlah kes jangkitan baharu tertinggi di Eropah dengan 19,425 kes setiap hari, diikuti UK, Rusia, Sepanyol dan Belanda.

Beberapa negara Eropah lain turut menutup sekolah, membatalkan prosedur pembedahan elektif dan kemasukan pelajar ke kolej perubatan susulan peningkatan kes yang berlaku.

Di Rusia, para pelajar diarahkan mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian, manakala di Sepanyol, semua restoran ditutup selama 15 hari sebagai langkah sekatan Covid-19.

Poland turut tidak terkecuali dengan ancaman Covid-19 apabila negara itu merekodkan sebanyak 6,526 kes jangkitan baharu dan 116 kematian pada minggu ini.

Selain itu, Amerika Latin mendahului kes jangkitan baharu terbanyak dengan 27 peratus kes, diikuti Asia, Amerika Utara dan Eropah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN