Cuti umum, Indonesia ‘macet’ - Utusan Malaysia

Cuti umum, Indonesia ‘macet’

KESESAKAN lalu lintas di bandar-bandar utama dijangka berlaku susulan Indonesia menikmati cuti panjang sehingga hujung minggu ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kesesakan lalu lintas di jalan bertol Tangerang-Merak mengalami peningkatan signifikan sehingga 394 peratus ketika hari pertama cuti panjang di Indonesia bermula semalam.

Ketua Kawalan Lebuh Raya (PJR), Denny Catur Wardana memberitahu, jumlah kenderaan yang melalui Pintu Tol Merak (GT) menghala ke Jakarta meningkat sehingga 394 peratus.

Katanya, angka tersebut bersamaan dengan 6,203 kenderaan berbanding hanya 1,574 kenderaan melalui jalan tersebut pada hari biasa.

Selain itu, beliau memaklumkan jumlah kenderaan yang keluar dari Tol Merak turut meningkat sehingga 302 peratus.

“Pada waktu biasa, jumlah kenderaan yang keluar dari Merak hanya sebanyak 2,345 dan menjelang petang semalam, angka itu meningkat kepada 7,085.

“Anggota peronda lebuh raya akan ditempatkan di setiap kawasan bagi memantau kelancaran lalu lintas, selain semua pengguna masih perlu mematuhi protokol kesihatan ketika menggunakan kemudahan di kawasan rehat,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.

Kerajaan Indonesia memberi cuti umum selama tiga hari bermula semalam sehingga Jumaat ini sempena sambutan Maulidur Rasul dan ditambah dengan cuti hujung minggu.

Dalam perkembangan sama, pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Bandara Soekarno-Hatta mencecah 61,000 orang semalam, sekali gus merekodkan jumlah tertinggi sepanjang pendemik Covid-19 melanda Indonesia.

Selain itu, kekerapan penerbangan juga mencapai angka tertinggi iaitu sebanyak 638 penerbangan.

Pengarah Utama Angkasa Pura II, Muhammad Awaluddin berkata, sepanjang pandemik, dianggarkan 40,000 hingga 45,000 penumpang sehari,

“Kami menjangkakan jumlah penumpang terus meningkat sehingga hujung minggu ini.

“PT Angkasa PURA II juga ingin berterima kasih kepada kepada seluruh pengguna lapangan terbang kerana berjaya mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×