Geng rokok rakyat Malaysia ditahan - Utusan Malaysia

Geng rokok rakyat Malaysia ditahan

ROKOK seludup dari Malaysia dirampas di Auckland. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUCKLAND: Tiga rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan cubaan menyeludup rokok ke New Zealand.

Lapor portal Stuff, ketiga-tiga lelaki dalam lingkungan 30-an itu akan didakwa di Mahkamah Daerah Auckland atas tuduhan menipu cukai kastam dan aktif dalam kumpulan jenayah terancang.

Jelas laporan itu, waran tangkap dikeluarkan Jabatan Kastam dan polis untuk mengeledah beberapa kediaman di Mt Roskill, Flat Bush dan Albany.

Dalam serbuan itu, tiga individu itu ditahan serta wang tunai berjumlah NZ$20,000 (RM55,557) dan sejumlah rokok dirampas.

Pengarah Siasatan Kastam, Bruce Berry berkata, individu yang ditahan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang Malaysia yang beroperasi di New Zealand.

“Beberapa tahun kebelaka­ngan ini, Kastam menjalankan siasatan melibatkan sindiket Malaysia yang menunjukkan suspek sering dihantar ke New Zealand untuk menyeludup dan mengedar rokok tersebut.

“Sindiket ini kerap menggunakan syarikat tidak aktif untuk menjalankan operasi mereka,” katanya.

Jelas Berry, tiga kapal kargo yang membawa rokok pelbagai jenis Malaysia dirampas dalam tempoh enam minggu ini.

Katanya, kapal kargo yang memuatkan rokok seludup sejumlah 2.39 juta dipintas awal bulan lalu, disembunyikan di dalam bahan binaan untuk mengelakkan pembayaran duti serta cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak NZ$2.95 juta (RM8.19 juta).

Jelas beliau, akhir bulan lalu kapal kargo yang membawa muatan rokok seludup sejumlah 2.31 juta disembunyikan de­ngan cara sama untuk mengelakkan pembayaran duti dan GST NZ$2.85 (RM7.91 juta).

KASTAM merampas jutaan rokok yang diseludup ke New Zealand oleh sindiket Malaysia. – AGENSI

 

Tambah Berry, rokok dieks­port dari Malaysia menjadi ‘game changer’ kerana pembungkusan khas, cara penyembunyian dan jumlah penghantaran yang tinggi.

“Inilah yang dipantau oleh rakan sejawat kami di Austra­lia, semuanya didorong dengan sikap ketamakan dan keuntu­ngan. Sebelum ini, kastam memantau rokok berjenama dieks­port dari China,” katanya.

Sementara itu, NZ Herald melaporkan lebih ramai orang ditahan dalam serbuan rokok seludup di sempadan yang membabitkan jumlah 2.2 juta dan cubaan untuk mengelak cukai eksais sebanyak NZ$2.72 juta (RM7.55 juta).

Penemuan itu merupakan rampasan tertinggi kastam bagi rokok yang diimport secara haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.