fbpx

Filipina ‘drama tiada kesudahan’

TUNTUTAN Filipina terhadap Sabah didakwa sebagai drama politik pemimpin Manila untuk memenuhi agenda politik mereka. - AGENSI
  • Oleh Media Mulia
  • 11 September 2020, 9:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

Oleh JAMARI MOHTAR dan LIM JI YI

ISU tuntutan Filipina ke atas Sabah sering menjadi batu penghalang dalam memperbaiki hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sejak pembentukan Malaysia 1963.

Meskipun terdapat kata sepakat dunia mengenai Sabah tertakluk di bawah kedaulatan Malaysia, dari semasa ke semasa segelintir ahli politik Fili­pina memainkan drama politik mereka.

Dengan kemungkinan pembukaan semula Pejabat Ehwal Borneo Utara di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina, Setiausaha Luar, Teodoro Locsin mengatakan pejabat itu dikhaskan menuntut semula Sabah.

Selain itu, Jawatankuasa Ehwal Luar, Dewan Perwakilan Filipina meluluskan Rang Undang-undang Dewan 6399 yang akan menyertakan Sabah ke dalam peta pasport Filipina.

Akta Pasport Filipina 1996 akan dipinda yang ‘bertujuan menekankan kemenangan di Laut Filipina Barat ke atas China di Tribunal Timbang Tara Antarabangsa di Hague, Belanda dan menegaskan hak undang-undang ke atas Sabah’.

Satu lagi pertikaian meli­batkan kedua-dua negara yang menarik perhatian umum berlaku antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan Locsin di Twitter.

Pada 27 Julai lalu, Locsin menegur Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Manila setelah pihak AS membuat ciapan Twitter berkenaan pengedaran sanitasi kepada warga Filipina yang dihantar

pulang dari Sabah de­ngan berkata: “Sabah bukan sebahagian Malaysia jika anda berurusan dengan Filipina.”

Ini menimbulkan reaksi Hi­shammuddin yang menyifatkan kenyataan Locsin tidak bertanggungjawab.

Beliau menegaskan ‘Sabah akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia’.

Pertikaian itu berlanjutan apabila Locsin mendakwa tuntutan Filipina ke atas Sabah adalah ‘pernyataan fakta berdasarkan sejarah’.

Tuntutan Filipina berdasarkan tafsiran berbeza mengenai Perjanjian 1878 antara Sultan Sulu dengan sau­dagar Alfred Dent dan Baron von Overbeck.
Istilah pajakan yang samar-samar dalam perjanjian itu mempunyai pelbagai makna. Tafsiran pihak Inggeris bermakna ‘pemberian dan penye­rahan’ yang menjadi asas pega­ngan Malaysia. Ini bertentangan pemahaman Filipina mengenainya sebagai ‘pajakan’ seperti ditafsirkan Kesultanan Sulu.

Bagi menyelesaikan perti­kaian itu, fikiran orang Sabah iaitu konsep penentuan nasib sendiri dalam undang-undang antarabangsa perlu diperhatikan.

Walaupun Filipina menzahirkan komitmen mengiktiraf Sabah dalam Malaysia semasa Perjanjian Manila, hingga hari ini negara itu masih mengabaikan keputusan tersebut.

Ini mungkin satu muslihat politik mengalihkan perhatian rakyat Filipina daripada salah urus pemerintah mereka menangani Covid-19. Itu juga merupakan permainan politik menjelang pilihan raya presiden 2022 dan dipergunakan untuk kepentingan politik.

Namun, Filipina harus ingat drama politik itu juga satu ‘pe­dang bermata dua’.

Walaupun manfaat dapat diraih dalam negeri, hubungan dua halanya dengan Malaysia serta perpaduan ASEAN pas­tinya akan terjejas.

Filipina perlu membuka matanya agar terdorong memperkukuh perpaduan ASEAN dalam prolog Perang Dingin di Laut China Selatan, dan bukannya mencetuskan pertikaian diplomatik yang akhirnya mendatangkan kerapuhan perpaduan.

PENULIS merupakan Pasukan Penyelidik di EMIR Research.

POPULAR