Berakhir sudah sumpahan ‘Bapa Sekular’ - Utusan Malaysia

Berakhir sudah sumpahan ‘Bapa Sekular’

HAGIA Sophia diubah kembali menjadi masjid selepas digazetkan sebagai muzium 86 tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh ADLINAHANI KHALIL
[email protected]

SEMUANYA angkara Mustafa Kemal Ataturk atau nama sebenarnya Gazi Mustafa Kemal Pasa apabila bangunan ikonik Turki, Hagia Sophia ditukar menjadi muzium selama 86 tahun.

Kebencian Mustafa Kemal terhadap Empayar Uthmaniyah menyebabkan beliau mewujudkan pemerintahan sekular yang secara jelas bertentangan de­ngan ajaran Islam sebenar.

Beliau mendakwa pemerintahan Uthmaniyah bersifat autoritarian, sekali gus menukar semua tinggalan empayar tersebut kepada sekularisme untuk menjadikan Turki lebih moden termasuk Hagia Sophia.

Hagia Sophia, asalnya iaitu ketika Empayar Rom Timur pada kurun keenam dibina sebagai gereja dan kemudian ditukar menjadi masjid selepas penaklukan Empayar Uthmaniyah pada 1453.

Berdasarkan kajian sejarah, Sultan Empayar Uthmaniyah, Sultan Mehmed II atau turut dikenali sebagai Muhammad al-Fateh didakwa membeli Hagia Sophia daripada sekumpulan paderi menggunakan duit ba­ginda sendiri.

Urusan jual beli itu dimeterai dalam dokumen perjanjian antara Sultan Meh­med dengan kumpulan paderi berkenaan.

Selepas pembe­lian itu, Sultan Mehmed secara rasmi menjadikan Hagia Sophia sebagai masjid dan ditukar kepada Ayasofya.

Namun pada 1934, status Hagia Sophia ditukar pula sebagai muzium di bawah pemerintah Mustafa Kemal yang ketika itu presiden pertama Turki.

Langkah itu diambil bagi menjadikan Istanbul sebagai sebuah negara sekular dan lebih moden.

Sejak itu, status bangunan tersebut sering menjadi topik perdebatan pelbagai pihak terutamanya golongan agamawan.

Sehinggalah awal bulan ini, Hagia Sophia akhirnya dimuktamadkan kembali sebagai masjid selepas mahkamah Turki membatalkan keputusan Majlis Menteri bertarikh 24 November 1934 mengenai penukaran ba­ngunan itu kepada muzium.

Keputusan mahkamah itu juga menyaksikan Hagia Sophia tidak boleh digunakan secara sah kecuali untuk aktiviti berkaitan masjid.

Dalam isu ini, hero sebenar adalah Presiden Turki ketika ini, Recep Tayyip Erdogan yang menyifatkan tindakan mengubah Hagia Sophia menjadi muzium merupakan satu kesilapan besar dan sudah tiba masanya mercu tanda Istanbul itu diubah semula menjadi masjid.

Erdogan mengumumkan umat Islam akan menunaikan solat Jumaat yang pertama di Hagia Sophia 24 Julai ini.

“Seperti semua masjid kita, pintu Hagia Sophia akan dibuka kepada semua penduduk tempatan dan orang luar, tanpa mengira bangsa serta agama,” katanya.

UNDANG-UNDANG SEKULAR

 

Ketika menjadi presiden, Mustafa Kemal memperkenal undang-undang sekular yang bertentangan dengan ajaran Islam bagi menghapuskan pe­ngaruh Islam di Turki. Antaranya:
» Membenarkan wanita memakai tudung dengan syarat berskirt.
» Menyuruh wanita dan lelaki menari bersama di khalayak ramai.
» Mengarahkan al-Quran di­cetak dalam bahasa Turki, menukar azan ke dalam bahasa Turki.
» Melarang ibadah haji, pe­rayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
» Menutup masjid dan tidak benarkan solat berjemaah.
» Mendakwa negara tidak akan maju jika tidak berpakaian moden.

KEMATIAN YANG MENYEKSAKAN?

Kematian Mustafa Kemal amat menyeksakan sehingga ada yang mendakwa jenazahnya tidak diterima bumi kerana ‘dosa-dosa yang dilakukan’.

Sebelum meninggal dunia pada 10 November 1938 pada usia 57 tahun, pemimpin sekular itu didakwa terseksa apabila menghidap pelbagai jenis pe­nyakit termasuk sakit kulit.

Berdasarkan cerita rakyat, usa­ha mengebumikan jenazah­nya buat pertama kali mene­mukan kegagalan dan percubaan kedua juga sama sehingga terpaksa disimpan di Muzium Etnografi Ankara selama 15 tahun.

Cubaan terakhir untuk mengebumikan jenazahnya selepas 10 November 1953 masih buntu dan akhirnya, jenazah Mustafa Kemal dibawa ke satu tempat berbukit serta ditanam di dalam binaan batu marmar seberat 40,000 kilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN