BEIRUT: Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan serangan Israel membunuh 1,318 orang di negara itu sejak perang meletus antara pasukan rejim dan kumpulan Hizbollah pada 2 Mac.
Jumlah itu meningkat daripada angka yang direkodkan sehari sebelumnya iaitu 1,268 orang.
Kenyataan kementerian itu kelmarin memaklumkan, jumlah korban termasuk 91 wanita, 125 kanak-kanak dan 53 petugas kesihatan, dengan 3,935 yang lain cedera.
Serangan Israel turut membunuh seorang komander kanan Hizbollah, Youssef Hashem pada Rabu, dalam serangan di Beirut yang turut mengorbankan tujuh yang lain, menurut dua sumber kepada AFP.
Sumber keselamatan Lubnan dan Hizbollah memberitahu AFP, Youssef bertanggungjawab terhadap urusan ketenteraan kumpulan itu di Iraq dan berada dalam satu mesyuarat di dalam khemah sewaktu serangan Israel.
Sumber yang rapat dengan Hizbollah berkata, Youssef merupakan pegawai berpangkat tinggi yang menjadi sasaran sejak permulaan perang.
Seorang lagi anggota Hizbollah, Mohammad Baqir al-Nabulsi, turut terbunuh dalam serangan di kawasan Jnah, Beirut, menurut kenyataan kumpulan itu.
Beberapa letupan besar kedengaran di seluruh bandar pada Rabu dengan kepulan asap tebal kelihatan dari Jnah, kawasan kediaman dikelilingi blok apartmen, kafe dan kedai.
Sementara itu, kumpulan Hizbollah memaklumkan pasukannya melancarkan serangan dron dan roket ke utara Israel pada Khamis, dengan Israel mendakwa siren serangan udara diaktifkan di seluruh sempadan.
Dalam kenyataan berasingan, sekutu Iran itu mendakwa tembakan roket menyasarkan tentera Israel di kawasan sempadan dan serangan dron menyasarkan sebuah kampung.
Israel mendakwa, siren diaktifkan di kawasan tersebut, dan tiada laporan mengenai sebarang korban atau kerosakan.- AFP










