Esok anak sudah mula memasuki alam persekolahan bagi sesi tahun 2025. Ada anak yang akan belajar di sesi pagi dan sebahagiannya sebelah petang.

Selain menyediakan keperluan ke sekolah, tidak kira bila pun sesi persekolahan anak, sebagai ibu bapa perlu memastikan anak tidak ke sekolah dengan perut kosong atau kelaparan.
Sarapan amat penting bagi kanak-kanak untuk memastikan mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran di sekolah selain memastikan akan bertenaga dan sihat.
Di Malaysia, satu daripada lima keluarga didapati tidak mengambil sarapan setiap hari. Kesan tidak makan sarapan boleh menjejaskan perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak sekali gus menjadi antara punca kanak-kanak bantut.
Pakar Pemakanan, Fatin Keri berkata, ramai ibu bapa tersalah anggap mengenai kepentingan sarapan sehingga tidak begitu menitikberatkan pengambilan sarapan untuk sekeluarga.
“Ramai ibu bapa di negara kita tidak sedar betapa pentingnya memastikan anak makan sarapan setiap hari untuk tumbesaran mereka. Jadi, tidak hairanlah satu daripada lima kanak-kanak sekolah bantut. Murid darjah satu, comel saja.
“Satu daripada 10 kanak-kanak kita juga mengalami kekurangan zat pemakanan. Tidak bersarapan adalah satu kesilapan. Puncanya kerana kebanyakan keluarga bangun lambat dan tidak sempat menyediakan atau bersarapan,” katanya.
Fatin berkata demikian pada majlis pelancaran Planta yang diformulasikan dengan Omega 3, 6 dan 10 Vitamin, baru-baru ini.
Turut hadir, pempengaruh Eien Razak yang tampil membuat bento yang comel dan praktikal untuk bekal sarapan anak dan Auntie Purple, berkongsi pengalaman menyediakan sarapan untuk anak-anaknya.
Kata Fatin lagi, pilihan makanan untuk menu sarapan perlulah seimbang merangkumi karbohidrat dan tenaga. Kalau makan roti saja tidak seimbang. Sebagai contoh, nasi lemak mempunyai karbohidrat dan protein daripada kacang dan telur.
“Sarapan cara budaya kita adalah yang terbaik jika kita pandai mengubahsuai mengikut kesesuaian keperluan anak. Setiap hari sebaiknya kena tukar menu bagi menarik selera anak supaya mereka tidak jemu.
“Ramai beranggapan lemak tidak baik untuk kesihatan. Hakikatnya banyak salah anggapan mengenai lemak. Lemak mengandungi lemak tepu dan tidak tepu. Pengambilan lemak tepu perlu dikurangkan sehingga kurang 10 peratus atau satu sudu makan saja,” katanya.
Fatin berkata, makanan bergoreng dan diproses seperti nuget, sosej dan pastri perlu dikurangkan. Sebaiknya, hidangkan makanan berasaskan sumber tempatan seperti ikan keli, siakap dan kembung yang mengandungi omega.
Ketinggian yang dicapai oleh kanak-kanak juga adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti diet dan pemakanan selain faktor genetik. Pemakanan terbaik adalah makan tiga hidangan utama dan tiga hidangan kudapan atau snek sehari.
Hidangan gabungan sarapan dan makan tengah hari atau brunch dibolehkan sekiranya anak tidak mengambil sarapan tetapi kuantitinya perlu dikawal bagi mengelakkan anak makan berlebihan kerana lapar.
“Tiada masalah kalau hendak masak awal dan sejukbekukan makanan bagi menjimatkan masa. Contohnya, menyimpan nasi atau makanan untuk disejukbekukan. Apa yang penting cara penyimpanan dan bagaimana kita gunakan.
“Sejukkan dahulu, masukkan ke dalam bekas kedap udara dan kemudian simpan dalam sejuk beku. Ia boleh dimakan sehingga seminggu pun tiada masalah.
Tarik selera anak dengan set bento
Pempengaruh media sosial, Eien Razak berkata, selain memastikan dua anaknya sentiasa bersarapan dengan makanan seimbang, makanan juga dihidang kreatif untuk menarik minat mereka untuk menikmati sarapan.
“Saya takut anak bantut kerana tidak mendapat khasiat pemakanan yang sepatutnya kerana saya sendiri pun bantut. Jadi, saya sangat teliti dalam memilih menu untuk mereka.
“Tidak dinafikan sebagai ibu yang bekerja, saya sibuk dan perlu bijak menyediakan sarapan untuk anak-anak sebelum ke sekolah. Namun saya masak setiap hari bermula dari awal hingga akhir,” katanya.
Bagi menjimatkan masa menyediakan sarapan, sebagai contoh, Eien akan merancang menu sepanjang minggu. Ini termasuk merancang khasiat yang diperlukan seperti karbohidrat, protein dan serat.
Bahan masakan ada yang dibuat lebih awal seperti sos untuk pasta dan disejukbekukan. Keesokannya sos itu hanya perlu dipanaskan untuk dihidangkan bersama pasta. Bagi menarik perhatian anak, makanan diletakkan di dalam kotak bento.
Eein juga menasihatkan walau sesibuk manapun, pastikan anak mengambil sarapan dan hidangan tidak perlu nampak menarik daripada segi persembahan kalau tiada masa. Cukup hanya memberikan mereka buah-buahan untuk permulaan jika mengejar masa.
Sementara itu, Auntie Purple berkata, dia memastikan tidak terikut-ikut dengan trend makanan tular sekiranya ia tidak sihat dan memenuhi keperluan khasiat pemakanan untuk anak-anak.
“Zaman ini, tiada alasan untuk tidak memasak. Jika tidak tahu apa yang perlu dimasak untuk sarapan, rujuk internet kerana banyak resipi sihat yang mudah boleh dicuba. Apa yang penting jangan terikut-ikut trend makanan yang tular tapi tidak sihat.
“Tidak perlu ikut menu sarapan Barat kerana sarapan kita seperti nasi goreng pun boleh menjadi berkhasiat jika dicampur dengan sayur, ayam, telur atau daging. Tidak perlu dibaratkan dengan memasukkan keju ke dalam semua makanan,” katanya. –UTUSAN










