Sakitnya macam terkena renjatan elektrik bermula dari pergelangan tangan kiri sehingga ke dada. Dada terasa ketat dan nafas tercungap-cungap. Memang cukup menyakitkan, “ kata Khai Izamshah (bukan nama sebenar) apabila derdepan detik cemas terkena serangan jantung.
Lelaki berusia 54 tahun dan berbadan agak gempal itu berkongsi pengalaman ngerinya ketika berdepan detik cemas, mengalami serangan jantung ketika baru pulang bekerja.
Pada Julai 2024 itulah kali pertama Khai Izamshah mengalami serangan jantung yang agak teruk. Sebelum ini, dia cuma mengalami sesak nafas apabila berjalan. Walaupun hanya berjalan sejauh 100 meter pun sudah tercungap-cungap.
“Mula-mula dibawa ke hospital, saya menjalani angiogram untuk mengesan salur darah dalam jantung yang tersumbat dengan menjalani rawatan stent. Namun menurut kardiologis, saya tidak boleh menjalani rawatan stent kerana terdapat empat saluran tersumbat dan hampir 90 peratus
“Pakar mencadangkan saya menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass) menggunakan teknik baharu, Pembedahan Jantung Invasif Minima (MICS) atau pembedahan lubang kunci.
Pembedahan ini hanya membabitkan hirisan kecil di dada dan tidak memerlukan dada dibelah.
“Saya bersetuju. Selepas menjalani pembedahan itu, keesokan paginya saya terus boleh duduk dan berjalan dua tiga tapak. Saya bersyukur kerana semakin pulih dan rasa 20 tahun lebih muda,” katanya.
Rawatan terbaik
Pakar Bedah Kardiotorasik, Damansara Specialist Hospital 2, Prof. Dr. Shahrul Amry Hashim berkata, bagi kes yang banyak salur darah tersumbat, rawatan terbaik adalah pembedahan bypass.

“Pembedahan pintasan jantung ini membabitkan pengambilan salur darah daripada tiga bahagian utama badan lain. Selalunya daripada kaki, tangan atau daripada belakang dada. Tujuannya menggantikan salur darah di dalam jantung yang tersumbat.
“Pembedahan ini bergantung kepada jumlah pintasan yang diperlukan. Namun kebanyakan pesakit yang memerlukan pintasan jantung mempunyai lebih daripada tiga salur darah jantung yang tersumbat iaitu lebih 50 peratus,” katanya.
Menurutnya, sesetengah pesakit yang tidak memerlukan stent atau pembedahan jika salur darah yang tersumbat hanya sekitar 20 atau 30 peratus sahaja. Sebaliknya mereka hanya memerlukan makan ubat sahaja.
Ini kerana kaedah rawatan menggunakan stent ke atas lebih daripada tiga salur darah tersumbat, tidak tahan lama dan mungkin boleh terbuka. Ini boleh menyebabkan pesakit terpaksa menjalani rawatan berkali-kali. Walaupun stent kurang invasif berbanding pembedahan lain, masih terdapat risikonya.
Jumlah salur darah tersumbat boleh dikesan menggunakan kaedah angiogram. Angiogram akan menunjukkan setiap salur darah di dalam jantung, berapa peratus tersumbat dan berapa banyak kawasan yang tersumbat.
“Ramai pesakit takut dengan pembedahan tradisional kerana tidak mahu dada mereka dibelah. Puncanya kerana mungkin pernah melihat pesakit yang menjalani pembedahan jantung dengan luka besar dan lambat hendak baik selain parut yang tinggal.
“Bagi pesakit yang takut menjalani pembedahan jantung secara minimal invasif (MICS) atau pembedahan lubang kunci iaitu teknik pembedahan yang membabitkan sedikit pemotongan. Teknik ini digunakan untuk mengurangkan trauma, kesakitan, parut dan risiko jangkitan,” katanya.
Pembedahan MICS ini bukan saja untuk salur darah dalam jantung tersumbat tetapi juga pembedahan jantung lain seperti injap bagi menggantikan injap jantung baharu.
Selalunya pesakit akan menerima MICS kerana tidak perlu belah dada, namun hanya buat luka kecil di sebelah kiri dada dalam lima sentimeter (sm) berbanding belah dada sepanjang 25 sm.
“Pembedahan dijalankan antara lima hingga enam jam, beza satu jam dengan pembedahan secara lama iaitu empat atau lima jam. Luka di dalam selalunya lebih cepat baik berbanding luka di luar. Paling penting kita tidak potong tulang, potong kulit dan daging saja. Ini bermakna tiada tulang patah dan cepat baik.
“Bagi pembedahan tradisional, tulang dada akan mengambil masa dua atau tiga bulan sebelum ia bercantum semula. Berbanding pembedahan menggunakan kaedah MICS, hanya boleh sembuh dalam tempoh sebulan,” katanya.
Tambahnya, tempoh tinggal di hospital juga lebih pendek jika menjalani pembedahan MICS berbanding pembedahan cara lama.
Ini membolehkan pesakit kembali bekerja dan menjalankan aktiviti lain seperti biasa. Pada masa sama,pesakit juga akan diberikan ubat tahan sakit.
“MICS bermula sejak akhir tahun 90-an lagi. Di negara Barat, kaedah ini sudah bermula sejak tahun 2000 dan semakin ramai doktor serta unit jantung mula menggunakan kaedah ini. Di Malaysia, kaedah ini mula digunakan sekitar 2012.
“ Saya sendiri mula menggunakan kaedah MICS sejak 2014. Buat masa ini tidak ramai pakar di negara kita menggunakan kaedah ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kos MICS adalah lebih tinggi daripada pembedahan secara tradisional iaitu lebih kurang 20 peratus. Kos lebih tinggi ini kerana prosedur pembedahan itu menggunakan peralatan tambahan seperti kamera dan instrumen yang panjang.
Katanya lagi, pihaknya juga merancang untuk menjalankan pembedahan ini menggunakan bantuan robot yang dikawal oleh doktor yang akan memudahkan lagi proses pembedahan jantung. Ia
dijadualkan dilaksanakan bermula akhir tahun ini.
Punca Tersumbat
Terdapat banyak sebab salur darah di dalam jantung tersumbat. Antaranya daripada faktor yang tidak boleh diubah seperti usia meningkat dan genetik.
“Sekiranya ada ahli keluarga mengalami salur darah tersumbat, mungkin mereka lebih cenderung untuk mengalami salur darah tersumbat. Bagaimanapun, lelaki lebih ramai mengalaminya berbanding wanita.
“Faktor risiko salur darah tersumbat yang boleh diubah seperti tabiat merokok, menghidap kencing manis, darah tinggi, kurang bersenam dan stress. Mencegah risiko ini boleh mengurangkan risiko penyakit ini,” katanya.
Salur darah tersumbat yang tidak dirawat, boleh membahayakan dan membawa maut, walaupun hanya satu salur darah saja yang tersumbat.
GEJALA
Dr. Shahrul Amry berkata, orang ramai perlu peka jika mereka berisiko tinggi mengalami penyakit jantung. Sebagai contoh, mereka yang kurang bersenam, berbadan besar, selalu stress dan merokok.
“Mereka yang mengidap penyakit seperti diabetes, bila rasa cepat penat, sakit dada walaupun sedikit, itu adalah petanda amaran ada salur darah tersumbat. Sebaiknya mereka perlu segera ke hospital,” katanya. – UTUSAN










