Memastikan warga emas sihat ketika bercuti di luar negara

Memastikan warga emas sihat ketika bercuti di luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai yang merancang untuk meluangkan masa bersama keluarga bercuti ke destinasi menarik sama ada di dalam atau luar negara apabila tiba musim cuti persekolahan yang panjang.

Bagi yang mempunyai peruntukan kewangan lebih, biasanya akan memilih percutian di negara bermusim sejuk seperti Jepun, Korea atau negara Eropah seperti Switzerland untuk bermain salji.

Bagaimanapun, sekiranya anda mahu membawa ibu bapa yang sudah berusia untuk bercuti ke negara bersalji, perlu berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah risiko kesihatan yang tidak diingini ketika berada di sana.

Ini kerana terdapat beberapa kes warga emas mendapat serangan jantung dan strok semasa di luar negara, malah ada yang meninggal dunia dan terpaksa dikebumikan di negara berkenaan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Timbalan Pengerusi Pusat Gerontologi GRACE, Fakulti Perubatan UniSZA, Dr. Mohd. Ihsanuddin Abas berkata, warga emas lebih berisiko tinggi terjejas kesihatan di negara berhawa dingin sekiranya menghidap penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau kolesterol yang tinggi.

“Secara purata warga emas lazimnya menghidapi dua atau tiga penyakit kronik ini dan perlu bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengawal tekanan darah, paras gula dan kadar kolesterol dalam darah bagi mengelakkan gejala-gejala akut menyerang.

“Antara nasihat kepada warga emas yang ingin melancong ke luar negara khususnya beriklim sejuk, pertama sekali adalah membuat pemeriksaan tahap kesihatan dengan doktor sebelum bercuti ke luar negara,” katanya.

Biasanya pemeriksaan fizikal, gejala utama (vital signs) dan ujian darah akan dilakukan bagi mengetahui keadaan semasa kesihatan warga emas. Seterusnya doktor akan memberikan nasihat kesihatan dan memastikan dos yang betul serta memberikan bekalan ubat-ubatan yang mencukupi sebelum melancong.

Tambah Dr. Mohd. Ihsanuddin, apa yang dibimbangi warga emas berkenaan terputus bekalan ubat sedangkan kos membeli ubat-ubatan adalah sangat tinggi di luar negara.

Katanya lagi, warga emas juga dinasihatkan untuk mengambil vaksin influenza pada setiap tahun atau sebelum melancong kerana risiko untuk dijangkiti demam selsema disebabkan virus influenza adalah lebih tinggi di negara-negara beriklim sejuk.

Gejala bagi demam selsema influenza adalah demam yang tinggi, sakit kepala yang teruk, keletihan dan kelesuan badan. Sekiranya tidak dirawat boleh menyebabkan jangkitan paru-paru akut yang berpotensi menjadi lebih teruk sehingga memerlukan rawatan intensif dan bantuan pernafasan.

“Kadar kematian disebabkan oleh jangkitan influenza adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas disebabkan komplikasi penyakit-penyakit sedia ada. Pengambilan vaksin influenza boleh melindungi daripada gejala demam teruk dan komplikasi penyakit lain.

“Sebaiknya, pilihlah musim paling sesuai dengan destinasi pelancongan bagi mengelakkan cuaca terlalu sejuk.

“Pendedahan kepada cuaca sejuk yang ekstrem seperti semasa ribut salji boleh menyebabkan sindrom hipotermia yang mana suhu badan menurun mendadak dan menjejaskan fungsi organ dalam tubuh,” katanya.

Apabila suhu badan menurun, jantung, sistem saraf dan organ lain tidak berfungsi dengan baik. Sekiranya tidak dirawat, hipotermia boleh menyebabkan sistem jantung dan pernafasan mengalami kegagalan dan boleh membawa maut.

Antara gejala hipotermia adalah badan menggigil kerana cuba memanaskan tubuh sendiri. Gejala lebih teruk seperti pertuturan yang tidak jelas atau meracau, tahap pernafasan yang perlahan atau tercungap, nadi lemah, mengantuk atau lemah, keliru atau kehilangan ingatan serta hilang kesedaran.

Mereka yang mengalami hipotermia biasanya tidak menyedarinya kerana gejala biasanya berlaku perlahan-lahan. Malah fikiran yang keliru juga boleh menyebabkan mereka tidak sedar apa yang sedang berlaku.

“Sekiranya berlaku hipotermia, pesakit perlu segera mendapatkan rawatan kecemasan di fasiliti perubatan. Justeru warga emas perlu berhati-hati semasa bermain salji, tidak terdedah dengan terlalu lama dan hendaklah memakai pakaian tebal bagi mengawal suhu badan dengan baik,” katanya.

Sebaiknya, kata beliau, elakkan minuman berkafein seperti kopi, teh atau alkohol sebaliknya boleh berikan pesakit menghirup sup panas atau air kosong yang hangat bersama madu.

Risiko terjatuh dan luka beku

Selain hipotermia, warga emas yang bercuti ke negara bermusim sejuk atau bersalji juga berisiko untuk jatuh dan mengalami kecederaan.

Ini kerana otot warga emas yang semakin lemah ditambah badan yang tidak seimbang serta permukaan jalan yang licin, membuatkan mereka mudah tergelincir atau jatuh.

Tergelincir boleh menyebabkan kecederaan serius kepada warga emas seperti patah atau retak tulang pada bahagian pinggul, paha atau lengan. Justeru, sebaiknya pilih jenis kasut yang sesuai ketika berkunjung ke negara musim sejuk. Pastikan mereka memakai but atau kasut dengan cengkaman kukuh bagi mencegah daripada terjatuh.

Warga emas yang menghidap diabetes, merokok dan mengambil penghalang beta lebih cenderung mengalami luka beku (frosbite).

Luka boleh berlaku pada jari tangan dan kaki, hidung, telinga, pipi dan dagu akibat suhu yang terlalu sejuk. Biasanya bahagian badan yang terdedah kepada suhu sejuk ini akan terasa kebas, mengeras dan terkopek kulit.

INSURANS PERUBATAN

Pemilihan musim pelancongan juga adalah penting bagi mengelakkan cuaca buruk seperti ribut salji, ribut pasir, taufan, banjir besar dan pembakaran hutan atau bush fire yang biasa melanda di sesetengah bandar utama pelancongan dunia.

Jika berlaku semasa melancong, dibimbangi akan mengalami kemalangan atau tersekat di tempat bencana.

“Setiap pelancong ke luar negara adalah dinasihatkan mengambil insurans perubatan pelancongan (medical travel insurance) bagi menanggung caj perubatan bila diperlukan.

“Kebanyakan negara tidak menanggung caj perubatan bagi pelancong dan perlu membayar penuh caj perubatan tidak kira di hospital kerajaan mahupun swasta. Kos perubatan di luar negara sememangnya tinggi dan boleh mencecah ratusan ribu ringgit bagi kes perubatan berkomplikasi tinggi, “katanya.

Tambah Dr. Mohd. Ihsanuddin, warga emas dinasihatkan untuk menjaga kesihatan fizikal, meningkatkan keupayaan diri dan penjagaan kendiri dengan melakukan senaman fizikal sebelum melancong.

Akhir sekali, cubalah memilih pakej pelancongan yang mesra warga emas, mampu menjaga kebajikan dan kesihatan mereka sepanjang perjalanan berkenaan.

Kini, banyak agen pelancongan yang lebih menekankan aspek kebajikan warga emas kerana permintaan golongan ini semakin meningkat khususnya bagi pakej umrah dan pelancongan ke negara-negara Asia Barat.

Ada yang menyediakan pengiring dan pembantu bagi memudahkan pergerakan warga emas semasa melancong.- UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×