Bahaya bermain air banjir

Bahaya bermain air banjir

MEREKA yang terjejas baNjir perlu waspada dengan jangkitan penyakit bawaan air-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini tular sebuah keluarga gembira bermain air jernih yang membanjiri dalam rumah mereka yang bertukar seakan sebuah kolam renang. Tidak kurang juga seronok bermain air banjir di luar rumah walaupun airnya agak keruh. Bagaimanapun, air banjir yang jernih atau kelihatan tenang bukanlah taman tema untuk bermain air tetapi lebih banyak bahaya yang menanti di sebaliknya.

Naib Presiden I-Medik dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Mohd. Ihsanuddin Abas berkata, apabila berlakunya banjir perlu diingat air banjir membawa bersamanya pelbagai jenis kotoran.

“Bergantung kepada laluan air banjir itu, air banjir mengandungi sampah sarap, sisa najis dan air kencing dari tangki septik, kotoran dari longkang, najis dan bangkai haiwan serta bermacam lagi kotoran yang mungkin kita tidak nampak.

“Oleh itu, secara asasnya air banjir kotor dan tidak selamat untuk digunakan meskipun ia jernih. Ancaman daripada pelbagai mikroorganisma seperti bakteria, virus dan parasit tidak kelihatan dalam air dan pastinya air banjir tidak selamat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Walaupun air itu jernih, tidak boleh dinafikan ia berkemungkinan mengandungi mikroorganisma seperti kuman kolera, tifoid, leptospirosis, melioidosis dan virus hepatitis A. Semua mikroorganisma ini boleh menyebabkan penyakit bawaan air banjir seperti taun.

“Kuman vibrio cholera yang menyebabkan penyakit taun akan menyebabkan pesakit mengalami cirit-birit dan dehidrasi yang sangat teruk.

“Tifoid pula penyebab demam kepialu, adalah penyakit bawaan makanan dan air yang boleh menyebabkan demam tinggi, sakit perut, dan cirit-birit yang teruk,” katanya.

Tambahnya, leptospirosis adalah penyakit yang disebarkan melalui kencing haiwan seperti tikus dan kucing yang dijangkiti bateria berkenaan yang mungkin terdapat di dalam air banjir.

Leptospirosis boleh menyebabkan demam tinggi, sakit otot dan dalam kes yang teruk sehingga menyebabkan kegagalan organ.

Penyakit bawaan air banjir, Melioidosis pula adalah jangkitan bakteria Burkholderia pseudomallei yang terdapat di dalam tanah.

Jangkitan berlaku apabila terdedah kepada tanah dan sumber air yang tercemar dengan bakteria ini.

Jangkitan Melioidosis boleh menjejaskan paru-paru dan menyebabkan sepsis. Tanda-tanda jangkitan paru-paru yang akut seperti demam panas, batuk, sakit dada, sakit kepala, tiada selera makan dan bisa seluruh badan.

Jangkitan berlaku terutamanya pada musim hujan yang akan membawa bakteria ini ke permukaan tanah. Cara jangkitan adalah melalui saluran pernafasan, terminum air tercemar atau melalui luka di kulit.

Jangkitan melalui luka selalunya menyebabkan ulser, bonjolan (nodul), atau bernanah pada kulit, demam dan sakit otot.

Tanda-tanda jangkitan salur darah yang akut biasa berlaku kepada pesakit yang mempunyai penyakit kronik (kencing manis dan kegagalan buah pinggang) seperti demam, sakit kepala, sesak nafas, sakit perut, sakit sendi dan otot, dan kecelaruan.

“Air banjir juga boleh menyebabkan jangkitan hepatitis A yang disebabkan virus Hepatitis A. Pesakit biasanya mengalami demam, loya dan muntah, hilang selera makan, kencing berwarna coklat dan mata menjadi kuning seperti jaundis.

“Virus hepatitis A disebarkan terutamanya apabila termakan makanan atau air tercemar dengan najis orang yang dijangkiti. Hepaptitis A juga boleh dijangkiti apabila orang yang dijangkiti tidak membersihkan tangan apabila menyediakan makanan,” katanya.

Jadi, sebaiknya bagi tujuan minum dan makanan serta pencucian atau pembersihan barangan dan peralatan sebaiknya gunakan air yang bersih terawat yang dibekalkan pihak berkuasa ataupun air mineral di dalam botol yang bersih dan tertutup.

“Air hujan yang ditadah juga boleh digunakan untuk membasuh pakaian dan membersihkan peralatan yang terkena air banjir. Namun air hujan daripada tadahan atap rumah perlu dielakkan kerana dibimbangi dicemari habuk, najis dan sampah.

“Perlu diingatkan air hendaklah sentiasa dimasak sehingga mendidih bagi membunuh bakteria dan virus yang boleh menyebabkan penyakit sebelum diminum atau digunakan dalam masakan,”katanya.

GEJALA DAN RAWATAN

Antara gejala penyakit bawaan air banjir adalah demam tinggi, sakit perut, muntah dan cirit-birit yang boleh menyebabkan dehidrasi.

Sekiranya berlaku gejala-gejala ini hendaklah segera ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan doktor dan diagnosis penyakit.

“Ujian darah juga akan dibuat bagi memastikan jenis jangkitan penyakit bawaan air banjir. Antara rawatan yang akan diberikan adalah pemerhatian yang rapi di hospital, rehidrasi dengan air dan elektrolit dan pemberian ubat antibiotik mengikut jenis jangkitan,” katanya.

SENGATAN BERBISA

Selain kotoran dan kuman, banjir juga berkemungkinan membawa haiwan berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking. Biasanya haiwan ini keluar dari habitat masing-masing.

“Haiwan berbahaya ini juga boleh menjadi ancaman semasa proses pembersihan rumah selepas banjir. Oleh itu, dinasihatkan supaya berhati-hati semasa membuat kerja pembersihan.

“Sekiranya terkena sengatan atau gigitan berbisa, segera ke hospital untuk pemeriksaan doktor dan pemberian ubat anti-venom bagi sesetengah jenis ular berbisa,” katanya.

Katanya, sengatan juga boleh menyebabkan serangan alergi yang kuat, serangan saraf dan pendarahan yang menyebabkan kematian. Rawatan boleh menyelamatkan nyawa sekiranya dibawa dengan segera ke hospital.

RENJATAN ELEKTRIK

Terkena renjatan elektrik juga sering berlaku apabila musim banjir dan mengakibatkan maut.

“Jangan menggunakan alat elektrik di dalam dan luar rumah sekiranya digenangi air. Jauhi tiang elektrik dan wayar elektrik di luar rumah. Jangan membuka suis utama rumah sekiranya ia basah, tunggu sehingga ia diperiksa pegawai TNB atau pegawai teknikal yang bertauliah.

“Sekiranya berlaku renjatan elektrik kepada sesiapa pun, pastikan tiada wayar hidup yang menyentuh air, gunakan kayu atau bahan penebat bagi meleraikan mangsa dari renjatan elektrik,” katanya.

Tindakan awal boleh menyelamatkan mangsa. Segera dapatkan bantuan daripada bomba atau ambulans. Jangan bertindak berseorangan, sekiranya keadaan itu membahayakan diri sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×