Konsep ‘masa adalah otak’ sangat penting dalam menyelamatkan nyawa pesakit strok dan mencegah daripada berlaku kecacatan kekal.
Konsep ini bermaksud setiap minit sangat penting semasa serangan strok. Ketika strok berlaku, darah tidak sampai ke otak, menyebabkan sel otak kekurangan oksigen.
Pensyarah Perubatan dan Sains Kesihatan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr Abdul Hanif Khan Yusof Khan berkata, setiap minit tanpa rawatan, jutaan sel otak mati dan kerosakan otak semakin teruk.

“Semakin cepat rawatan diberikan apabila mengalami strok, semakin banyak sel otak yang dapat diselamatkan dan peluang untuk pulih dengan baik juga meningkat.
“Oleh itu, bertindak segera boleh menghasilkan perbezaan besar dalam menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kecacatan kekal. Malangnya, 75 peratus pesakit strok tiba di hospital lebih daripada tiga jam selepas gejala bermula,” katanya.
Tambah beliau, empat ke lima jam pertama adalah tempoh masa penting untuk segera membawa pesakit ke hospital.
Sekiranya pesakit tiba di hospital dalam tempoh ini, ada rawatan khusus yang dapat dilakukan iaitu Thrombolysis atau penguraian darah beku.
“Pesakit yang mengalami strok iskemik atau saluran darah tersumbat boleh diberikan ubat trombolisis untuk melarutkan darah beku yang menyekat aliran darah ke otak. Rawatan ini hanya berkesan jika diberikan dalam 4.5 jam pertama dari mula gejala strok.
“Thrombectomy Mekanikal pula dilakukan untuk kes-kes tertentu bagi membuang darah beku dengan alat khas. Ini dapat membantu memulihkan aliran darah ke otak dengan cepat. Prosedur ini juga perlu dilakukan dalam tempoh cepat selepas gejala strok bermula,” katanya.
Bagaimanapun katanya, perlu diingat tidak semua hospital di Malaysia mempunyai kemudahan rawatan strok hiperakut (khusus) seperti ini.
Bagi mengetahui hospital yang siap merawat strok berhampiran anda, Majlis Strok Malaysia memperkenalkan laman web MyStrokeHospital.my yang boleh membantu mencari hospital yang bersedia untuk rawatan strok dengan lebih mudah.
Baru-baru ini, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS, UPM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM, UKM) diiktiraf sebagai Pusat Strok Termaju oleh Pertubuhan Strok Dunia (World Stroke Organisation).
Ia adalah antara tiga hospital pertama di Asia Tenggara yang menerima anugerah berprestij yang membuktikan keupayaan mereka dalam memberikan rawatan strok terbaik.
PETANDA STROK
Hanif Khan berkata, tanda-tanda awal strok boleh dikenalpasti menggunakan panduan mudah BEFAST atau PERMATA.
“BEFAST iaitu Keseimbangan (Balance), pesakit mengalami kesukaran secara tiba-tiba untuk berdiri atau berjalan, atau rasa pening yang luar biasa. E – Mata (Eyes) pula penglihatan kabur atau hilang secara tiba-tiba, terutamanya pada satu mata. F pula adalah Muka (Face), sebelah muka mungkin nampak jatuh atau senget bila tersenyum.
“A – Lengan (Arms), tangan atau kaki pada satu sisi badan mungkin tiba-tiba lemah atau kebas, sukar untuk diangkat. S – Pertuturan (Speech) adalah kesukaran bercakap, percakapan menjadi pelat atau sukar difahami dan T – Masa (Time) adalah sangat penting! Jika anda perasan tanda-tanda ini, panggil ambulans dan segera ke hospital, “katanya.
Sementara itu, versi bahasa Melayu, PeRMATA pula singkatan kepada Pening dan masalah penglihatan, Muka jatuh atau senget, A- tidak dapat mengangkat tangan atau kaki, T- Tutur pertuturan dan A- Ambulans, hubungi 999.
JENIS STROK
Terdapat dua jenis strok iaitu strok iskemik dan strok hemoragik. Kedua-dua jenis ini berlaku di otak tetapi dengan cara yang berbeza.
“Strok Iskemik paling biasa dengan membabitkan lebih 80 peratus kes. Strok ini berlaku apabila saluran darah di otak tersumbat oleh darah beku atau plak kolesterol yang menghalang aliran darah ke otak.
“Akibatnya, bahagian otak itu kekurangan oksigen seterusnya menyebabkan sel-sel otak mati jika tidak dirawat segera,” katanya.
Sementara itu, strok Hemoragik (berdarah) berlaku apabila saluran darah di otak pecah, menyebabkan darah keluar dan memenuhi tisu otak. Pendarahan ini menekan bahagian otak, mengganggu fungsi otak dan boleh menyebabkan kerosakan serius. Ia sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal atau saluran darah lemah yang pecah.
Di Malaysia, hanya sekitar 10 hingga 20 peratus pesakit strok pulih sepenuhnya tanpa sebarang kecacatan. Namun, 46.5 peratus daripada mereka yang terselamat mengalami kecacatan kekal.
PELUANG SEMBUH
Hanif Khan berkata, kadar pemulihan bergantung kepada seberapa cepat rawatan diberikan, jenis dan keterukan strok, serta usaha pemulihan. Rawatan segera dan program rehabilitasi boleh membantu meningkatkan peluang pemulihan yang lebih baik.
“Strok boleh berulang kerana faktor risiko yang sama masih wujud atau tidak terkawal. Faktor utama strok berulang adalah disebabkan faktor risiko tidak diikawal seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan merokok yang tidak dikawal baik boleh menyebabkan strok berulang.
“Gaya hidup tidak sihat seperti pemakanan tidak seimbang, kurang bersenam dan pengambilan alkohol berlebihan meningkatkan risiko strok kedua. Tanpa ubat dan perubahan gaya hidup, risiko strok seterusnya lebih tinggi,” katanya.
Kesan strok berulang boleh menyebabkan kerosakan otak lebih teruk. Strok kedua biasanya menyebabkan kerosakan lebih parah dengan kemungkinan berlaku kecacatan serius. Malah risiko kematian adalah lebih tinggi.
PULIH DAN CEGAH
Pemulihan dijalankan melalui fisioterapi, terapi pertuturan dan terapi pekerjaan dapat membantu pesakit untuk mengembalikan fungsi tubuh yang terjejas, mengurangkan kesan jangka panjang, dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru bagi mencegah strok, langkah yang boleh diambil adalah mengawal tekanan darah. Pastikan tekanan darah berada dalam julat normal dengan pemeriksaan berkala dan mengikuti nasihat doktor.
“Amalkan diet sihat dan makan banyak buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan ikan. Elakkan makanan berlemak, bergaram tinggi, dan bergula.
“Bersenamlah secara rutin sela. 30 minit setiap hari untuk mengekalkan kesihatan jantung dan tubuh,” katanya.
Beliau juga menasihatkan perokok supaya berhenti merokok kerana tabiat itu meningkatkan risiko strok.
Selain itu, mengawal kolesterol dengan mengelakkan makanan berkolesterol tinggi dan amalkan gaya hidup sihat.
Mereka yang menghidap diabetes pula perlu memastikan paras gula dalam darah berada dalam kawalan untuk mengelakkan komplikasi kesihatan. – UTUSAN










