Malam adrenalin gegaran warisan himpun ikon muzik keras - Utusan Malaysia

Malam adrenalin gegaran warisan himpun ikon muzik keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peminat muzik keras tanah air bakal disajikan malam penuh adrenalin menerusi penganjuran konsert Gegaran Warisan yang dijadual berlangsung pada 18 Julai 2026, jam 8 malam di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Telok Panglima Garang.

Acara anjuran Mentari Merah Entertainment dengan kerjasama Warisan Hall itu menghimpunkan tiga nama berpengaruh dalam dunia rock dan metal tempatan iaitu Punisher, FOR dan Sniperz, selain penampilan khas legenda rock, Amir SYJ atau Sofea.

Dengan kapasiti terhad kepada hanya 300 penonton, konsert tersebut dijangka menjadi rebutan peminat yang mahu merasai pengalaman lebih dekat dan intim bersama barisan pemuzik berpengaruh tanah air.

Pengarah Urusan Mentari Merah Entertainment, Mohammad Noor Mustapha berkata, Gegaran Warisan bukan sekadar hiburan, sebaliknya platform menghidupkan semula legasi muzik keras tempatan serta memperkenalkan sejarahnya kepada generasi baharu.

Katanya, pemilihan konsep dan lokasi berskala kecil bertujuan mewujudkan suasana lebih dekat antara artis dan peminat sekali gus mengembalikan aura gig underground yang semakin jarang dirasai.

“Apabila ruang lebih kecil, tenaga persembahan dapat dirasai secara langsung oleh penonton. Ini pengalaman yang semakin sukar diperoleh dalam penganjuran konsert berskala besar masa kini,” katanya.

Nama Punisher antara yang paling dinanti apabila kumpulan yang ditubuhkan sekitar 1987 di Kuala Lumpur itu dianggap perintis thrash metal tempatan dan pernah menggegarkan pentas era kebangkitan metal penghujung 1980-an.

Dikenali dengan muzik agresif serta pengaruh daripada band antarabangsa seperti Slayer, Exodus dan Metallica, Punisher dijangka membawa rangkaian lagu bertenaga termasuk Black September, Wrath of the Machines dan Gout.

Vokalisnya, Rosdan Baharom menyifatkan konsert tersebut sebagai pengalaman berbeza buat mereka apabila berpeluang berkongsi pentas dengan kumpulan rock dan heavy metal arus perdana.

“Perbezaan genre bukan halangan kerana ia sudah menjadi kebiasaan dalam dunia muzik. Apa yang penting adalah tenaga dan semangat yang dibawa ke atas pentas,” katanya.

Turut mencuri perhatian ialah FOR yang sinonim dengan semangat muzik jalanan serta kehadiran aktif dalam gig komuniti tempatan.

Gabungan Punisher, FOR dan Sniperz menjadikan Gegaran Warisan sebagai pertembungan tiga generasi muzik rock tempatan, sekali gus menyatukan elemen lama dan baharu dalam satu pentas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN