Magis ‘Mangu’ Ari Lesmana bakal gegar Zepp KL 15 Ogos ini - Utusan Malaysia

Magis ‘Mangu’ Ari Lesmana bakal gegar Zepp KL 15 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri muzik tanah air bakal menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila vokalis berjiwa besar dari Indonesia, Ari Lesmana, bakal tampil dalam konsert solo eksperimental pertamanya bertajuk ‘MANGU di Kuala Lumpur’.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Zepp Kuala Lumpur ini bukan sekadar persembahan muzik rutin, sebaliknya merupakan manifestasi seni yang mengangkat tema ‘Mangu’. Istilah tersebut membawa maksud keadaan seseorang yang terkesima atau tenggelam dalam lautan emosi yang mendalam.

Kelainan utama konsert anjuran Rockstage Entertainment ini terletak pada keberanian Ari untuk bereksperimen melalui kolaborasi bersama produser muzik elektronik, DJ Firza.

Gabungan vokal lunak puitis Ari bersama rentak beat elektronik DJ Firza bakal melahirkan genre “Indie-Electronic” yang segar, memberikan pengalaman audio-visual luar biasa buat peminat di Malaysia.

Menambahkan lagi seri malam tersebut, konsert ini turut menampilkan penampilan khas daripada ENAU, artis meningkat naik yang dikenali dengan lirik-lirik jujur dan melodi yang menangkap telinga.

Menurut wakil Rockstage Entertainment, pemilihan Zepp Kuala Lumpur adalah bagi memastikan kualiti produksi yang maksima serta kualiti bunyi terbaik buat penonton.

Peminat yang ingin menyaksikan perpaduan antara puisi dan teknologi muzik ini boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang www.myticketempire.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN