Bintang pop tersohor Indonesia, Raisa, bakal kembali mengubati kerinduan peminat di Malaysia menerusi konsert jelajah terbaharunya, Raisa Ambivert Tour, yang dijadualkan berlangsung pada 13 Februari 2026 di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam.
Konsert yang amat dinantikan ini dianjurkan bersama oleh Sembang Kari Entertainment dan MHT Live My, dengan Juni Concert sebagai rakan penganjur. Persembahan berkenaan menjanjikan pengalaman muzik yang lebih peribadi dan emosional menerusi tema ‘Ambivert’ yang mencerminkan gabungan dua sisi personaliti Raisa.
Menurut Pengarah Sembang Kari Entertainment, Mohd Fuad Simim, penganjuran konsert ini bertujuan memberi ruang kepada peminat untuk menyelami sisi Raisa yang lebih jujur dan dekat dengan jiwa.
“Konsep ‘Ambivert’ ini memberi peluang kepada penonton merasai dua suasana berbeza di mana ada masanya sangat ‘healing’ dan intim, dan ada masanya pula penuh dengan keriangan pop yang dinamik. Kami mahu setiap penonton pulang dengan pengalaman emosi yang lengkap,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur bersama dari MHT Live My, Adi Acong, menyifatkan konsert ini sebagai sebuah pengalaman audio-visual istimewa yang dirancang dengan teliti bagi memastikan kualiti produksi berada pada tahap tertinggi.
Raisa turut meluahkan keterujaannya untuk kembali beraksi di Kuala Lumpur, yang disifatkannya sebagai lokasi istimewa dalam perjalanan karier seninya.
“Kuala Lumpur sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana sokongan peminat yang luar biasa. Melalui ‘Ambivert Tour’, saya ingin membawa penonton menyelami dua sisi diri saya yang tenang dan yang penuh keriangan. Saya telah menyediakan susunan muzik istimewa dan tidak sabar untuk mencipta kenangan baharu bersama peminat di sini,” katanya.
Konsert ini turut diserikan dengan penampilan Barsena Bestandhi sebagai artis jemputan, yang dijangka memberi warna muzik berbeza pada malam persembahan tersebut.
Tiket konsert Raisa Ambivert Tour boleh didapati menerusi laman web rasmi www.raisambivert.com dengan pelbagai kategori ditawarkan termasuk VIP Box, tempat duduk bernombor dan zon berdiri. Kemudahan pembayaran ansuran juga disediakan melalui SPayLater, PayLater by Grab dan Atome.
Konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan peminat tempatan pada awal tahun 2026, sekali gus mengukuhkan hubungan istimewa antara Raisa dan peminatnya di Malaysia.









