Kuala Lumpur: Dua nama besar dalam dunia muzik Nusantara, Datuk Sri Siti Nurhaliza dan Lesti Kejora, akhirnya bergabung dalam satu karya istimewa menerusi lagu baharu berjudul Kumbang Bunga.
Single ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh ini menjadi pembuka tirai kepada album terbaharu Siti Nurhaliza, dengan mengetengahkan gabungan tiga irama utama iaitu inang, dangdut dan masri dalam sentuhan kontemporari tradisional. Hasilnya, lahirlah sebuah karya yang bukan sahaja segar, tetapi juga kaya dengan nilai warisan budaya.
Menurut Siti, Kumbang Bunga menjadi platform sempurna untuk beliau dan Lesti bagi menzahirkan semangat persaudaraan dua negara serumpun.
“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional” katanya.
Lesti pula menyifatkan kolaborasi ini sebagai impian peminat yang akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Sri Siti Nurhaliza kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya menjadi kenyataan” katanya.
Sementara itu, Firdaus Rahmat mendedahkan proses bagi penciptaan lagu tersebut hanya mengambil masa dua hari, dengan fokus untuk menonjolkan keunikan vokal dua bintang besar tersebut.
Diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd., Kumbang Bunga kini boleh didapati di semua pelantar digital mulai hari ini, manakala video muzik rasmi ditayangkan pada jam tiga petang, menampilkan visual indah yang menyerlahkan magis kolaborasi dua suara emas Nusantara.