Petaling Jaya: Penyanyi Kilafairy melakar sejarah apabila menjadi artis wanita Malaysia yang terpilih untuk membuat persembahan dalam Konsert Udit Narayan In KL. Acara epik itu bakal berlangsung pada 28 Disember 2024 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, menampilkan legenda Bollywood, Udit Narayan, yang terkenal dengan gelaran “Raja Melodi.”
Bagi Kilafairy, peluang ini adalah penghormatan besar dan momen yang ingin dikongsikan dengan arwah ibunya, Allahyarham Rohana Jalil.
“Jika arwah ibu masih ada, pasti beliau bangga melihat saya berada di pentas ini. Udit Narayan adalah ikon besar, dan dapat berkongsi pentas dengannya umpama mimpi menjadi kenyataan,” kata Kilafairy, atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, 32 tahun.
Kilafairy akan mempersembahkan satu lagu solo dan dua lagu duet bersama penyanyi Syamel. Menurutnya, persiapan termasuk latihan vokal intensif sedang giat dilakukan untuk memastikan penghayatan lenggok Hindustan yang sempurna.
“Lenggok nyanyian Hindustan sangat berbeza, dan saya mahu memberi persembahan terbaik. Saya juga akan mengenakan busana bertema Bollywood hasil rekaan Shanell Harun yang elegan dan sederhana,” tambahnya.
Kilafairy mendedahkan minatnya terhadap lagu Bollywood bermula sejak kecil. Lagu-lagu Udit Narayan, terutama daripada filem seperti Devdas, Mann, dan Taal, mempunyai tempat istimewa dalam hatinya.
“Bollywood membawa saya kembali ke kenangan manis bersama keluarga, terutama arwah ibu. Lagu Khushiyan Aur Gham dari filem Mann adalah antara kegemaran kami,” katanya penuh emosi.
Konsert ini menandakan kemunculan semula Udit Narayan di Malaysia selepas 12 tahun. Dengan lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang kerjayanya, Udit dijangka memukau peminat dengan rangkaian lagu hit dari era 90-an hingga kini, termasuk “Papa Kehte Hain” dari filem Qayamat Se Qayamat Tak.
Tiket untuk konsert boleh dibeli di myticket.asia atau dengan menghubungi penganjur, VVST Digital Creation, di [email protected].
Penganjur juga memberi jaminan bahawa konsert ini akan berjalan lancar, susulan pembatalan acara serupa di Pulau Pinang yang tidak melibatkan mereka.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah ini dan merasai magis Bollywood bersama Kilafairy dan Udit Narayan.