Gempa bumi terburuk Turkiye dalam 100 tahun

Gempa bumi terburuk Turkiye dalam 100 tahun

GAMBAR menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa dari bangunan lapan tingkat yang ranap di Hama, Syria selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud di selatan Turkiye. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan di Turkiye dan Syria apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara Turkiye pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan), semalam.

Gempa bumi terburuk dalam tempoh lebih 100 tahun di Turkiye itu dikatakan meranapkan puluhan bangunan di beberapa bandar dan turut menyebabkan kerosakan teruk di negara jiran, Syria.

Di Turkiye, kawasan yang terjejas teruk adalah di Gaziantep, Kahramanmaras, Sanliurfa, Osmaniye, Diyarbakir dan Malatya manakala di Syria melibatkan Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.

Gegaran itu turut dirasai di Lubnan, Syria, Cyprus dan Mesir, menurut wartawan AFP.

Pusat perkhidmatan kecemasan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) melaporkan, angka kematian didapati mening­kat dari semasa ke semasa sejajar dengan usaha aktif mencari dan menyelamat.

Lebih 1,000 sukarelawan Turkiye dikerah untuk mencari dan menyelamat dari bandar terbesar Turki, Istanbul sehingga ke selatan negara itu.
Malah, AFAD turut merayu bantuan daripada masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menjalankan operasi men­cari dan menyelamat di kawasan bencana berkenaan.

BANTUAN AWAL
Setakat ini, Amerika Syarikat (AS), Ukraine, Russia dan Pe­rancis dilaporkan menawarkan bantuan awal kepada Turkiye dan Syria.

Penasihat keselamatan negara AS, Jake Sullivan dalam satu kenyataan berkata, AS amat bimbang dengan laporan gempa bumi yang memusnahkan di Turkiye dan Syria.

“Kami bersedia untuk memberikan apa-apa dan semua bantuan yang diperlukan. Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dalam penyela­rasan dengan kerajaan Turkiye,” kata Sullivan.

Sullivan menambah bahawa Presiden, Joe Biden mengarahkan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) dan rakan kongsi kerajaan persekutuan lain membantu mereka yang paling terjejas.

Pegawai tempatan Turkiye juga meramalkan jumlah korban akan meningkat lebih tinggi kerana ramai terperangkap dan sedang tidur pada waktu kejadian.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikata berkata, sebanyak empat ekor anjing K9, dua buah trak dan bahan bantuan dihantar ke kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.

“Maaf di atas ‘kehilangan’ semua. Saya doakan yang cedera cepat sembuh,” ciapnya melalui Twitter.

Imej televisyen menunjukkan orang ramai berkumpul, berada dalam keadaan terkejut, kecewa dan sedih dengan berdiri di atas salji serta memakai baju tidur selain melihat penyelamat menggali runtuhan bangunan yang musnah.

Menurut Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi itu berlaku pada pukul 4:17 pagi waktu tempatan iaitu 23 kilometer di timur Nurdagi, wilayah Gaziantep, pada kedalaman 24.1 kilometer.

PRESIDEN UCAP TAKZIAH
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam ciapan Twitter turut menyampaikan ucapan takziah kepada semua rakyat yang terjejas akibat gempa bumi berkenaan.

“Kita berharap agar dapat melalui bencana ini bersama-sama secepat mungkin dan dengan kerosakan yang paling sedikit,” katanya.

Media pro-kerajaan berkata, beberapa bangunan runtuh sebahagiannya di Hama, tengah Syria dengan pertahanan awam dan bomba berusaha untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat daripada runtuhan.

SEJARAH GEMPA BUMI TERBESAR

Raed Ahmed yang menge­tu­ai Pusat Gempa Nasional Syria memberitahu, ini adalah sejarah gempa bumi terbesar yang direkodkan pihaknya.
Turkiye dikatakan berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia.

Wilayah Duzce di Turkiye mengalami gempa bumi berukuran 7.4 magnitud pada 1999 yang paling teruk melanda Turki dalam beberapa dekad lalu.
Gempa itu mengorbankan lebih 17,000 orang termasuk kira-kira 1,000 di Istanbul. –AFP/AGENSI

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.