PENGGUNAAN kenderaan dua roda dalam angkatan tentera bermula sejak perang dunia kedua lagi. Kelebihan kenderaan jenis ini sudah semestinya amat diperlukan terutama untuk anggota tentera bergerak pantas.
Malah penggunaan kenderaan ini semakin meluas dari semasa ke semasa termasuk bagi kegunaan tinjau dan juga sebagai pengiring.
Namun, penggunaan jentera beroda dua terdapat kelemahannya sendiri terutama untuk kegunaan membawa barangan yang agak besar.
Maka tidak hairanlah banyak negara kini menggunakan kenderaan serba rupa bumi (ATV) untuk kegunaan operasi tentera termasuk Malaysia.
Terbaharu, Tentera Darat menerima sejumlah kenderaan tersebut bagi mengawal sempadan negara di bawah pelaksanaan Op Benteng di Malaysia Timur.

Selain ATV, Tentera Darat turut menerima trak 1 Tan GS Cargo dan motosikal Scrambler 250cc untuk meningkatkan lagi tahap pelaksanaan operasi kawalan sempadan.
Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain, penerimaan tersebut sejajar dengan pelan Army4nextG Tentera Darat untuk mengimbangi kekuatan anggota dan aset dua pertiga Semenanjung Malaysia dan satu pertiga bagi Malaysia Timur.
“Bentuk muka bumi kawasan operasi di sempadan di Sarawak agak sukar.Jika kita menggunakan sepenuhnya anggota rondaan berjalan memang boleh, tidak ada masalah tetapi pergerakan terbatas
“Dengan perolehan aset baharu ini, ia semestinya akan mampu untuk meningkatkan lagi tahap pelaksanaan operasi kawalan sempadan dan dapat membantu anggota terlibat,” ujarnya yang menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Op Benteng kepada Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Padang Motor Cross di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Muhammad Ariff Soo Abdullah.
Dalam pada itu Zamrose berkata, Tentera Darat akan menambah empat lagi pos kawalan sempadan di Sarawak sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pos di negeri ini 19 pos.
“Kerajaan Sarawak meluluskan tapak dan kerja pembinaan sudah bermula yang saya yakin akan siap Ogos ini,” katanya.

Ditanya berkenaan kenderaan berperisai mobiliti tinggi keluaran syarikat peralatan ketenteraan tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF), Zamrose berkata, uji nilai terhadap kenderaan tersebut telah bermula.
“Uji nilai itu merangkumi keupayaan mobiliti, sistem persenjataan, kemampuan menahan tembakan anti kereta kebal serta sistem komunikasi,” jelasnya.











