BERDIRI sama tinggi, duduk sama rendah bersama golongan lelaki yang merupakan majoriti dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukanlah satu perkara yang mudah buat pegawai dan anggota wanita.
Walau bagaimanapun, Laksamana Pertama Rohana Jupri membuktikan tiada apa yang menjadi penghalang jika sentiasa mempamerkan kecemerlangan tugas dan dedikasi yang tinggi apabila diberi penghormatan sebagai wanita pertama yang dinaikkan pangkat ke Laksamana Pertama baru-baru ini.
Pengiktirafan itu sekali gus menjadikan Rohana, 57, setanding barisan tertinggi TLDM dalam kumpulan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang sebelum ini hanya dipelopori oleh pegawai lelaki TLDM.
Anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu berkata, beliau tidak pernah terfikir pun penglibatannya dalam TLDM akan sampai ke tahap ini.
Katanya, perjalanan kariernya sejak 36 tahun lalu bukan sesuatu yang mudah namun beliau sentiasa berfikiran positif dan menonjolkan kredibiliti diri dengan tugas yang cemerlang walau ‘dicampak’ ke jawatan apa sekalipun.
“Saya tidak pernah kata tidak kepada sebarang arahan pihak atasan. Saya tanamkan dalam diri, pergi sahaja kerana kita sendiri tidak tahu apa yang boleh kita pelajari di tempat atau tugasan baharu yang diamanahkan itu.
“Sebelum ini saya adalah Pegawai Memerintah di beberapa perjawatan yang boleh dikatakan hot seat termasuk Depot Bekalan Armada di Lumut, Perak. Di situ, saya mengawasi makanan, bahan bakar dan keperluan angkatan laut yang lain.
“Ia satu tugas yang mencabar kerana anda berurusan dengan keperluan manusia dan kapal. Sebarang salah perhitungan dalam percaturan boleh menjejaskan misi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat TLDM di KD Sri Gombak baru-baru ini.

Rohana yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Kanan Materiel Markas Tentera Laut menjelaskan, selain tugas hakiki, beliau juga diberi kepercayaan dalam National Task Force (NTF) sebagai Asisten Ketua Staf (AKS) J4 Logistik.
“Di NTF, saya dipertanggungjawabkan terhadap keperluan perolehan aset-aset penting dalam menentukan Op Benteng dapat dilaksanakan dengan lebih efisien. Saya diberi kepercayaan mengetuai mesyuarat penting bersama agensi-agensi lain.
“Memegang dua jawatan penting dalam satu masa memang sangat mencabar, namun saya menyahut cabaran tersebut dan sentiasa memastikan segala keperluan operasi dalam tahap terbaik,” kata ibu kepada empat cahaya mata berusia antara 19 dan 24 tahun itu.
MABUK LAUT
Siapa sangka, di samping memegang jawatan tertinggi di dalam TLDM, Rohana sebenarnya seorang yang mudah mengalami mabuk laut.
Menceritakan pengalamannya, Rohana berkata, ketika dalam latihan kadet, beliau perlu menaiki kapal KD Panah dari Lumut, Perak ke Pulau Pinang.
“Setelah menyertai TLDM baru saya tahu yang saya mabuk laut. Setiap kali berlayar, sepanjang perjalanan memang tidak boleh bangun tapi saya tidak jadikan itu satu penghalang kerana saya sendiri menyertai TLDM kerana mahukan pekerjaan yang mencabar.
“Dalam TLDM, tiada perbezaan di antara pegawai lelaki dan wanita. Kami lakukan latihan yang sama, makan makanan yang sama dan tempuhi kesukaran yang sama,” ujarnya.

Rohana yang aktif dalam sukan hoki itu menjelaskan, pengiktirafan diberikan membuktikan TLDM memberikan peluang sama rata dan menghargai keupayaan pegawai wanita dalam menggalas tanggungjawab besar dalam bidang ketenteraan.
“Ramai lagi wanita yang mempunyai kepakaran dalam TLDM contohnya kita ada pegawai wanita yang mampu menghadiri kursus pegawai peperangan utama serta ada yang layak menjadi Pegawai Memerintah.
“Saya harap selepas ini TLDM membuka lebih banyak peluang kepada pegawai yang berkepakaran ini untuk meningkatkan kebolehan mereka seterusnya dimasukkan dalam perjawatan kritikal,” ujarnya.











