Medevac: Hero Orang Asli yang tidak didendang - Utusan Malaysia

Medevac: Hero Orang Asli yang tidak didendang

Anggota Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medevac) membawa Orang Asli mendapatkan rawatan di hospital. – Utusan/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penempatan suku kaum Orang Asli di Gua Musang, Kelantan yang terletak di kawasan pedalaman hutan belantara selalunya menyebabkan sesuatu bantuan itu lambat sampai.
Bentuk muka bumi begitu mencabar sehingga memerlukan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menyelesaikan kes-kes kecemasan yang menimpa penduduk Orang Asli.

Unit Udara JBPM yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu menetapkan misi utama iaitu melaksana operasi kebombaan melalui udara secara strategik, cepat serta berkesan untuk menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar.

Menjadi tulang belakang kepada unit ini adalah sembilan helikopter di tiga pangkalan udara iaitu Pangkalan Udara Subang, Selangor; Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang dan Pangkalan Operasi Udara Miri, Sarawak.

Perkhidmatan paling kerap dilakukan unit ini adalah pemindahan perubatan atau Medical Evacuation (Medevac) bagi membantu pesakit Orang Asli yang sakit mendapatkan rawatan di hospital secepat mungkin.

 

Unit Udara JBPM yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu banyak menjalankan operasi Medevac untuk Orang Asli.

 

Pada 2019, sebanyak 40 penerbangan dilakukan bagi menghantar pesakit Orang Asli di pos penempatan Gua Musang menggunakan helikopter untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan Hospital Orang Asli, Gombak, Selangor.

Pada Januari sehingga Jun tahun ini pula, sebanyak 34 penerbangan Medevac dilaksanakan.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, Gua Musang merupakan daerah paling banyak mendapat perkhidmatan pertolongan udara apabila hampir setiap bulan pihaknya melakukan penerbangan Medevac.

Beliau berkata, kebiasaannya, kawasan penempatan Orang Asli yang jauh melalui jalan balak sering memerlukan bantuan perkhidmatan helikopter.

“Penerbangan Medevac akan dilakukan selepas mendapat permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Pegawai Kesihatan daerah yang memaklumkan keadaan pesakit yang memerlukan rawatan segera.

“Selepas mendapat kelulusan, kita akan terus melakukan penerbangan ke lokasi yang ditetapkan,” katanya.

Tambah Mohd. Farhan, setiap penerbangan dari Pangkalan Udara Subang ke Gua Musang akan mengambil masa satu jam sebelum membawa pesakit ke Hospital Gua Musang atau Hospital Orang Asli Gombak, berdasarkan tahap kesihatan pesakit untuk menerima rawatan lanjut.

MOHD. FARHAN MARZUKI

 

TERIMA KASIH JBPM, JAKOA

Pengangkutan udara sememangnya diperlukan oleh masyarakat Orang Asli kerana kedudukan kampung mereka yang terletak jauh dari kawasan bandar.

Seorang penduduk Orang Asli, Abu Alang, 42, yang tinggal di Pos Balar di Gua Musang berkata, jika berlaku kes kecemasan mereka berdepan kesulitan untuk keluar ke bandar.

Katanya, setiap perjalanan melalui jalan balak mengambil masa lebih antara empat sehingga 10 jam untuk keluar ke bandar Gua Musang sekiranya cuaca hujan.

“Komuniti Orang Asli berpendapatan rendah kerana mereka hanya mengusahakan ekonomi sara diri. Jika berlaku kes kecemasan kami terpaksa meminta pertolongan pihak Jakoa dan JBPM kerana tidak mampu untuk menyewa kenderaan.

“Namun, kami bersyukur dengan adanya perkhidmatan udara JBPM dapat membantu mengurangkan kesusahan yang dialami masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman,” katanya.

 

ABU ALANG
ALONG BUSU

 

 

Along Busu, 45, pula berkata, khidmat bakti yang diberikan oleh JBPM kepada masyarakat tidak dapat dibalas dengan wang ringgit kerana mereka sentiasa bersedia melakukan operasi menyelamat tanpa mengira masa dan tempat.

Katanya, keadaan persekitaran kampung Orang Asli yang tidak mempunyai klinik atau hospital menyebabkan penduduk kerap sakit.

“Kebiasaannya, jika bomoh kami tidak dapat menyembuhkan penyakit, kami akan meminta bantuan untuk ke hospital di bandar.

“Kami berterima kasih kepada JBPM dan Jakoa yang sentiasa memberi pertolongan jika berlaku kes kecemasan di kampung kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×