Maritim Malaysia Kelantan sanjungan nelayan - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia Kelantan sanjungan nelayan

MARITIM Malaysia Kelantan menahan bot nelayan warga asing yang menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laut bergelora dan pandemik Covid-19 bukan halangan bagi Agensi Penguat Kuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan untuk terus memikul amanah menjalankan tugas hakiki iaitu menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Pelbagai kejayaan dilakar sepanjang tahun 2020 walaupun dilalui dalam situasi norma baharu.

Kejayaan ini diukur berdasarkan dua tugasan utama Maritim Malaysia iaitu penguatkuasaan undang-undang dan mencari dan menyelamat maritim (Carilamat Maritim).

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, secara keseluruhannya Maritim Negeri Kelantan berjaya melakukan 28 tangkapan sepanjang tahun ini menerusi Op Naga Barat, Op Kuda Laut dan Op Damai.

Menurutnya, tangkapan itu melibatkan 12 kes bot nelayan asing, 12 kes bot nelayan tempatan, dua kes ‘tanker’ asing dan dua kes penyeludupan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM30.7 juta dan membabitkan seramai 182 orang kena tahan (OKT).

“Selain itu, sebanyak empat pengusiran bot nelayan asing turut direkodkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

“Sebelum diusir, peralatan memancing bot-bot nelayan asing ini dirosakkan terlebih dahulu bagi mengelak mereka datang kembali untuk melakukan sebarang aktiviti perikanan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

MUHD. NUR SYAM ASMAWIE YAACOB

Kata beliau, daripada 12 bot nelayan asing yang ditahan, sebanyak 10 bot telah dilucuthak oleh mah­kamah setelah selesai urusan pendakwaan.

“Jumlah keseluruhan tangkapan tahun ini me­ningkat sebanyak 12 peratus berban­ding tahun lepas yang merekodkan 25 kes,” katanya.

Bagi kes penyeludupan rokok, jumlah rampasan rokok tanpa cukai turut mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun lepas.

Pada 2019, Maritim Malaysia Kelantan merampas sebanyak 1.2 juta batang rokok putih dengan nilai termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM897,600.

“Pada tahun ini, kita berjaya merampas sebanyak 2.5 juta batang rokok putih dengan nilai termasuk cukai diang­garkan RM1.87 juta,” ujarnya.

Muhd. Nur Syam Asmawie berkata, dalam memperkasakan penguatkuasaan di perairan Pantai Timur khususnya perairan Kelantan, Maritim Malaysia Kelantan pada 1 Ogos lepas menerima sebuah kapal ronda generasi baharu (NGPC) yang diberi nama KM Tok Bali.

Menurutnya, kapal yang berukuran 45 meter panjang dan 7.7 meter lebar itu berkemampuan beroperasi di laut selama 10 hari dengan kapasiti maksimum keanggotaan seramai 41 orang.

“Sehingga kini, KM Tok Bali telah melakukan enam tangkapan membabitkan empat bot nelayan asing Vietnam dan dua tanker.

“Ia menjadi simbol keamanan dalam kalangan nelayan tempatan yang menganggapnya wira kerana berjaya mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan ini,” ujarnya.

Secara ringkas, Maritim Malaysia Kelantan mempunyai kawasan pengoperasian seluas 27,637 kilometer (KM) persegi dengan panjang pantai bersaiz 78km.

Keluasan pengoperasian ini juga merangkumi kawasan tuntutan bertindih antara Malaysia–Thailand seluas 7,250 kilometer persegi dan kawasan tuntutan bertindih antara Malaysia–Vietnam dengan keluasan 2,008 kilometer persegi.

BAKTI CARILAMAT, PELAYARAN IHSAN

SELAIN meningkatkan penguat kuasaan di laut, Maritim Malaysia Kelantan turut melebarkan perkhidmatan operasi mencari dan menyelamat serta pelayaran ihsan bagi kes-kes kecemasan.

Bot Penyelamat 7 tidak asing bagi warga Pulau Perhentian kerana kepantasannya membawa pesakit ke tanah besar yang sekali gus berjaya menyelamatkan nyawa terutama pesakit kronik.

Pegawai Rintah bot itu, Leftenan Madya Maritim Pirabagar Raman berkata, sebanyak tujuh kes carilamat direkodkan sepanjang tahun ini melibatkan pelbagai insiden.

Menurutnya, dua kes dicatatkan sebagai medical evacuation (medevac), kes bot rosak, dua kes bot karam, satu kes lemas dan satu kes bot hanyut.

“Seramai 36 mangsa terlibat dengan 27 orang berjaya diselamatkan manakala sembilan ditemui dalam keadaan meninggal dunia.

“Kes terbesar tahun ini melibatkan insiden sebuah bot yang membawa 20 pemancing dipukul ribut semasa sedang bersauh. Sejumlah 12 orang daripadanya berjaya diselamatkan manakala lapan lagi ditemui lemas,” katanya.

Pirabagar berkata, anggota yang bertugas di atas bot sentiasa bersiapsiaga sekali pun berada di rumah jika berlaku sebarang panggilan kecemasan.

 

MEMBUAT penerbangan ihsan membawa pesakit dari sebuah pulau ke hospital.

 

NELAYAN YAKINI KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA

NELAYAN di sepanjang perairan Kelantan yakin dengan kewibawaan dan keupayaan Maritim Malaysia untuk mengawal keselamatan laut terutama ancaman pencerobohan nelayan asing yang sering mencari peluang mencuri hasil khazanah laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semerak, Zahari Samat berkata, sebelum kewujudan agensi penguatkuasaan itu nelayan sering terhimpit dengan ancaman nelayan asing.

Penceroboh itu bukan sahaja memukat secara haram tetapi turut merosakkan unjam iaitu tukun yang dibina nelayan tempatan.

Malah, katanya, pukat yang ditahan nelayan tradisional turut hilang atau dirosakkan nelayan asing yang menggunakan pukat lebih besar selain menggunakan peralatan menangkap ikan yang diharamkan di perairan negara.

“Ketegasan dan ketangkasan Maritim Malaysia Kelantan berjaya mencegah pencerobohan nelayan asing, mendisiplinkan nelayan tempatan dalam bab rentas zon tangkapan dan pelbagai bantuan menyelamat yang melibatkan kecemasan yang berlaku di tengah laut.

“Nelayan dan anggota PNK Semerak mencadangkan kepada kerajaan supaya aset dan keperluan Maritim Malaysia diperbaharui dan ditambah untuk rondaan laut yang berterusan.

“Aset-aset lama perlu dinaik taraf kerana agensi penguat kuasaan ini telah membuktikan kemampanan dan kekuatannya mengawal kesejahteraan laut,” katanya.

Zahari berkata, anggotanya juga perlu diberi perlindungan insurans hayat percuma kerana tugasan mereka bukan sahaja mencabar tetapi mempertaruhkan nyawa meredah samudera dalam pelbagai situasi.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Radio Nelayan Kelantan, Hazahar Mat Sanisah pula berkata, pihaknya pernah menghantar memorandum mendesak penguat kuasaan tegas bagi mengekang nelayan asing yang sering menceroboh kepada Menteri Pertanian suatu ketika dahulu.

Memorandum tersebut mendapat perhatian apabila Maritim Malaysia segera bertindak menahan penceroboh mengikut lunas undang-undang dan Akta Perikanan sedia ada.

Selain itu katanya, operasi carilamat yang dilaksanakan oleh Maritim Malaysia dilihat amat cekap dan pantas sehingga tragedi luar jangka yang berlaku di tengah laut dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×