PEMANTAUAN cegah jenayah adalah elemen yang amat penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa selamat dan bebas daripada sebarang kegiatan tidak diingini.
Apatah lagi sekiranya kawasan tersebut menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, selain sentiasa sesak setiap kali cuti hujung minggu atau cuti umum.
Melihat potensi kecekapan membuat rondaan dan pemantauan terutamanya di kawasan lorong yang sempit, Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim mencetuskan idea untuk menubuhkan satu pasukan yang dikenali sebagai Skuad Taming Sari.
Meskipun setakat ini skuad tersebut hanya dianggotai enam orang anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, namun peranan mereka cukup berkesan dalam aspek cegah jenayah menerusi kaedah stop and talk.
Melalui cara itu, anggota Skuad Taming Sari berupaya untuk berinteraksi dengan pelancong, lebih-lebih lagi dalam memberi peringatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 ketika ini.
Bercerita lebih lanjut mengenai Skuad Taming Sari, ujar Mat Kasim, pasukan itu ditubuhkan secara rasmi pada 26 Ogos lalu yang menyaksikan penyerahan skuad berkenaan kepada IPD Melaka Tengah dilakukan semasa perhimpunan bulanan pada bulan tersebut.
“Objektif penubuhan Skuad Taming Sari adalah membolehkan omnipresent pasukan keselamatan di tempat awam sentiasa dirasai yang bertanggungjawab melakukan elemen cegah jenayah di kawasan pelancongan.
“Malah, memandangkan skuad ini beroperasi di kawasan tumpuan seperti kawasan Jam Besar, Menara Taming Sari dan Jonker Walk, mereka turut berperanan dalam membantu tunjuk arah kepada para pelancong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain kawasan tersebut, skuad itu turut melakukan rondaan dan pemantauan di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Laksamana dan di Kampung Morten.
Sesekali, mereka juga akan berhenti berkomunikasi dengan pengusaha industri pelancongan di kawasan tersebut termasuk pengayuh beca, peniaga makanan dan minuman serta pihak-pihak berkaitan.
Pantau dengan motosikal
Menurut Mat Kasim, penubuhan Skuad Taming Sari juga secara tidak langsung membantu Unit Polis Pelancong (UPP) yang sedia ada berperanan mencegah jenayah di kawasan pelancongan.
Lebih menarik, skuad tersebut menggunakan lima buah jentera Kawasaki KLX150 iaitu motosikal jenis enduro yang lasak dan bersesuaian dengan ciri-ciri penugasan Skuad Taming Sari.
“Kita sedia makum PDRM mempunyai pelbagai aset bagi tujuan cegah jenayah tetapi bagi Skuad Taming Sari ia menggunakan konsep berbeza iaitu menggunakan motosikal untuk menjalankan tugas.
“Dengan penggunan motosikal jenis Kawasaki KLX150 itu, anggota Skuad Taming Sari juga mampu memberi response time yang pantas sekiranya berlaku perkara-perkara tidak diingini.
“Malah, kita juga tahu kawasan-kawasan operasi adalah tempat yang sering mengalami kesesakan jalan raya. Oleh kerana itu penggunaan motosikal amat relevan dan bertepatan untuk mereka merentas lorong atau jalan yang sukar dan sempit,” katanya.

Ujar beliau lagi, kehadiran anggota polis di sesuatu kawasan juga menimbulkan rasa selamat dalam kalangan pelancong. Dalam masa sama menggusarkan pihak yang mempunyai niat tidak baik melakukan perkara tertentu di situ.
“Paling penting kehadiran mereka juga mampu mengeratkan lagi hubungan PDRM dengan masyarakat setempat yang menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menyalurkan maklumat,” katanya.
Biarpun baru berusia kira-kira tiga bulan, Skuad Taming Sari ujar Mat Kasim, telah mendapat reaksi positif daripada masyarakat yang rata-ratanya gembira dengan penubuhan skuad itu dalam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Justeru beliau berharap, skuad tersebut akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi bagi memastikan setiap misi dan objektif yang digariskan dapat diterjemah dengan baik dalam setiap penugasan yang dilakukan.










