Laura Lee nenek cantik bergelar ratu - Utusan Malaysia

Laura Lee nenek cantik bergelar ratu

LAURA Lee bersama cucu-cucunya. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GETARAN muzik kedengaran di dalam dewan ballroom bersalut emas Hotel Montecito di ibu kota Bulgaria, Sofia.

Penonton mengeluarkan telefon mereka apabila Laura Lee dari Singapura memakai gaun merah berkilauan mula menyanyi dan menari salsa mengikut irama lagu dendangan Michael Buble, Sway.

Wanita berusia 47 tahun itu merupakan peserta paling muda dalam kalangan 17 wanita tetapi sudah bergelar nenek kepada enam orang cucu, yang akhirnya meraih mahkota Grandma Universe 2023 buat golongan nenek.

Lapor The Straits Times, pertandingan yang berakhir pada 23 Januari itu merupakan pertandingan ratu cantik ketiganya dan kemenangan kedua.

Pada usia 44 tahun, Lee yang mempunyai lima cucu ketika itu mengambil bahagian dalam pertandingan pertamanya, Mrs Singapore, di mana beliau muncul sebagai naib juara bersama trofi Ratu Fotogenik dan Pakaian Terbaik.

Lewat tahun itu, beliau memenangi pula pertandingan Ratu Antarabangsa Pelancongan di Thailand.

Ibu tiga anak, yang bakal berusia 48 tahun pada Mac ini, juga merupakan usahawan berjaya di sebalik perniagaan logistik dan lima syarikat makanan dingin dan beku.

Namun kehidupan tidak selalu indah mewangi bagi Lee, yang pertama kali menjadi ibu pada usia 20 dan nenek pada usia 37 tahun.

KAHWIN MUDA
Tiga anaknya, Cheryl, Sean dan Lester kini masing-masing berusia 28, 27 dan 24 tahun.

Ketika berusia 13 tahun, Lee yang merupakan anak bongsu dua beradik, memberi tuisyen Bahasa Inggeris dan matematik untuk mendapatkan wang saku.

Pada usia 16 tahun, beliau bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah syarikat cenderahati, menjual bunga, hamper dan perhiasan ketika beliau tidak bersekolah.

“Kami tidak pernah kelaparan, tetapi kami juga tidak mampu membeli apa-apa kemewahan. Ia membuatkan saya mahu menjadi lebih berkebolehan, jadi saya boleh menyediakan anak-anak saya dengan kehidupan yang lebih baik,” ceritanya kepada The Straits Times dalam satu panggilan video.

Lee berkahwin dengan kekasihnya ketika di sekolah menengah pada usia 19 tahun.

Beliau terus melanjutkan pelajarannya dan memperolehi diploma lanjutan dalam bidang jualan dan pemasaran dari Sekolah Perniagaan Thames yang berpangkalan di Singapura pada usia 21 tahun.

Pada tahun yang sama, beliau melahirkan seorang anak lelaki, Sean tetapi pasangan muda itu menghadapi masalah kewangan.

Lee melakukan banyak perkerjaan termasuk, menjual insurans pada siang hari dan menjadi pelayan pada waktu malam.

Walaupun beliau kadang-kadang berasa berputus asa, dirinya terus berjuang demi anak-anaknya.

Lee melahirkan anak ketiga, Lester, pada 1999.

“Saya memberitahu diri saya bahawa tidak kira betapa sukarnya, kita perlu yakin. Jadi, saya teruskan hidup kerana anak-anak saya bergantung kepada saya dan mereka masih kecil,” katanya.

Tetapi masalah kewangan telah menjejas perkahwinannya dan Lee akhirnya memfailkan perceraian ketika berusia 31 tahun.

“Itu adalah masa paling teruk dalam hidup saya kerana saya bersendirian dengan tiga anak. Tetapi tidak ada penyesalan. Saya percaya saya membuat keputusan yang betul,” katanya.

KEGIGIHAN SEBAGAI IBU TUNGGAL
Untuk memberi makan kepada anak-anaknya yang masih kecil, beliau menjual trak peti sejuk sebuah syarikat barangan industri.

Beliau memberi yang terbaik dalam pekerjaan itu, menghasilkan hingga 20,000 dolar Singapura (RM65,142) sebulan.

Dalam beberapa bulan, beliau berjaya menjelaskan semua hutangnya dan dalam perjalanan bebas daripada masalah kewangan.

Pada 2009, berbekalkan 50,000 dolar Singapura (RM162,886) wang simpannya, Lee mengasaskan Trade-Pro Trading, syarikat pakar dalam logistik dan pergudangan.

Hari ini, beliau mempunyai lima syarikat lain yang berurusan dengan makanan sejuk dan beku.

Syarikatnya menggajikan lebih daripada 70 orang.

“Saya cukup bernasib baik kerana mempunyai ramai orang baik di sekeliling saya.

“Mereka membantu saya membina kerjaya dan memperkenalkan ramai rakan perniagaan kepada saya, dan itulah cara saya dapat berkembang,” katanya.

KEJAYAAN SEBAGAI RATU
Lee menjadi satu-satunya nenek yang bertanding dalam Pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa di Bangkok.

Kali ini, beliau menang.

“Saya tahu apa yang diharapkan ketika itu, jadi saya mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk mempersiapkan diri saya.

“Saya juga pergi ke kelas menyanyi dan menari,” katanya.

Walaupun dengan dua tiara kemenangan dalam genggaman, beliau tidak mengambil mudah dan percaya pencapaiannya adalah hasil kerja keras dan ketabahan.

Lee, yang mempunyai cucu berusia antara dua hingga 10 tahun, bersenam tiga kali seminggu dan melakukan rutin penjagaan kecantikan estetik seperti suntikan Botox dan sel stem untuk mengekalkan penampilan anggunnya.

“Kita mempunyai teknologi untuk membantu kami kelihatan baik, jadi mengapa tidak?,” katanya.

Beliau kini menemui cinta baharu dan menjalin hubungan dengan rakan kongsi perniagaannya.

Dengan kerjaya yang baik dan kehadiran cinta baharu, Lee merasakan sudah tiba masanya untuk mengambil langkah susulan.

Beliau dalam proses menyerahkan perniagaan kepada Cheryl dan Lester.

Sean mempunyai perniagaan automobilnya sendiri.

“Pencapaian terbesar saya dalam hidup adalah tiga anak saya,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya