Mana cincin risik di jari Neelofa? - Utusan Malaysia

Mana cincin risik di jari Neelofa?

Neelofa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SPEKULASI mengenai status hubungan pertunangan antara Neelofa dan Haris Ismail atau lebih dikenali PU Riz masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

Sehingga artikel ini ditulis tidak ada pencerahan sebenar duduk perkara mengenai pasangan popular ini.

Walaupun empunya diri seakan-akan memberi bayangan hubungan mereka berdua ‘retak menanti belah’ tetapi tidak ada pengumuman rasmi mengenai dikeluarkan mereka berdua.

Lebih menguatkan andaian, hubungan kedua-duanya dikatakan telah putus apabila Neelofa kini dilihat tidak lagi menyarungkan cincin yang didakwa merupakan cincin risik pada jari manisnya.

Malah, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd. Noor, 31, dan Muhammad Haris Mohd. Ismail, 25, juga tidak lagi mengikuti antara satu sama lain di laman Instagram.

Lebih mengeruhkan keadaan, ahli keluarga turut memberi gambaran bahawa ada yang tidak kena dengan hubungan mereka berdua.

Namun kedua-dua belah keluarga masih mengunci mulut dan belum membuat sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, Neelofa tampil menjelaskan hal sebenar menerusi sebuah video di Instagram miliknya yang kini mendapat lebih tiga juta tontonan berhubung dakwaan seorang wanita yang menghebohkan cerita kononnya Neelofa terkena minyak pengasih selain sudah menikah dengan PU Riz secara senyap di Kelantan.

Bapa Neelofa iaitu Mohd. Noor juga tidak memberi sebarang komen kepada pihak media berhubung dakwaan menjadi wali untuk menikahkan anaknya dengan PU Riz.

 

TMJ BIDAS SYED SADIQ

USAHA bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ‘bernazar’ membotakkan kepalanya jika berjaya mengutip sumbangan RM200,000 dibidas oleh Tunku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ dikatakan memerli Ahli Parlimen Muar itu yang bernazar melalui kempen ‘1 Keluarga 1 Laptop’ untuk mengutip dana bagi membeli sebuah komputer riba bagi 100 keluarga di kawasan Muar.

TMJ dalam status di Instagram Story berkongsi foto sekeping cek RM300,000 pemberian baginda yang dikurniakan kepada anak-anak Muar.

 

 

Menerusi status itu, TMJ turut menulis kapsyen yang dituju kepada individu yang dimaksudkan agar tidak menggunakan orang Muar demi kepentingan peribadi dan meminta supaya beliau tidak mencuri duit rakyat kerana masih mempunyai kes dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk berhenti ‘berlakon’ dan tidak perlu untuk botakkan kepala.

Bagaimanapun, tanpa cepat melatah, Syed Saddiq melalui sebuah video tampil membalas ucapan terima kasih kepada TMJ atas sumbangan yang diberikan terhadap orang Muar.

Malah beliau turut memetik mengenai urusan pembinaan hab anak muda Muar yang diluluskan sebanyak RM25 juta ketika menjadi menteri, seolah-olah membandingkan angka itu dengan sumbangan baginda.

Sumbangan dana untuk kempen ‘1 Keluarga 1 Laptop’ dengan tanda pagar #BotakChallenge melebihi sasaran apabila berjaya mengumpul lebih RM383,000.

Syed Saddiq yang dibotakkan kepalanya di hadapan ibunya pada Rabu lalu juga meminta kerjasama SPRM bagi memastikan pengagihan komputer riba dilaksana secara adil.

 

SYED Saddiq tunai botakkan kepala selepas sumbangan dana kempen ‘1 Keluarga 1 Laptop’ di Muar melebihi sasaran apabila berjaya mengumpul lebih RM383,000.

 

JKR: ANTARA DUA DARJAT

Insiden jatuh basikal menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akibat terlanggar lubang di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor baru-baru ini mencetuskan perbalahan antara netizen di media sosial.

Ia berlaku susulan, Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat permohonan maaf serta-merta kepada Khairy atau KJ. Apa yang mengudang kemarahan ialah JKR dikatakan berat sebelah dalam membuat permohonan maaf.

Rata-rata menyatakan, kerosakan jalan seperti berlubang hingga menyebabkan kemalangan maut kepada pengguna jalan raya sebelum ini tidak diendahkan sangat oleh JKR atau pihak berwajib, jauh sekali menghulurkan permohonan maaf.

Bagaimanapun apabila Ahli Parlimen Rembau itu cedera, terus jalan berkenaan dibaiki. Justeru netizen tidak mahu JKR berat sebelah hanya kerana mangsa seorang menteri sebaliknya perlu bertindak segera membaiki atau menurap jalan-jalan rosak.

 

 

Khairy Jamaludin, memuat naik keadaannya yang jatuh basikal akibat terlanggar lubang di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, perkongsian seorang wanita di laman Twitter menjadi perhatian ramai dan melucukan apabila dia yang dikenali Cik Nils terkejut melihat basikal yang digunakan Khairy Jamaluddin sama seperti yang dimiliki oleh suaminya.

Difahamkan suami wanita itu tidak pernah memberitahu kepadanya harga basikal berkenaan mencecah RM45,000 seperti yang dikongsikan BorneoGhost Online di Twitter mengenai harga basikal tersebut.

Namun pada masa sama, ramai dalam kalangan para suami yang cuba ‘menyelamatkan’ suami Cik Nils dengan memberitahunya harga basikal itu hanya RM4,500 untuk tidak memanjangkan cerita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN